Darahsatriadotcom

Followers

Friday 5 April 2013

Agenda Mendahulukan Rakyat!

Kerajaan akan mengambil kira kepentingan dan kebajikan rakyat berhubung sebarang keputusan penempatan semula penduduk yang terlibat dalam pencerobohan kumpulan pengganas Kiram.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, segala pandangan daripada ketua daerah, ketua anak negeri dan ketua komuniti akan diambil kira bagi memastikan keputusan untuk penempatan semula dapat diusahakan dengan sebaik mungkin demi kepentingan rakyat.

"Apa yang penting ialah segenap lapisan rakyat perlu terus memberi kerjasama, komitmen dan sokongan padu yang tidak berbelah bahagi kepada usaha kerajaan dalam memastikan keamanan, keselamatan dan kedaulatan negara serta kesejahteraan rakyat pada keseluruhannya akan terus terpelihara," katanya.

Musa yang juga Pengerusi Zon Selamat Sabah Timur (Esszone) berkata demikian ketika berucap merasmikan persidangan transformasi politik berhubung keselamatan Sabah dan Esszone yang turut dihadiri Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan Timbalan Ketua Polis, Tan Sri Khalid Abu Bakar di sini hari ini.

Musa turut melancarkan buku bertajuk Putting to Rest the Claim to Sabah by the Self-Proclaimed Sultanate of Sulu tulisan Gani.

Sebelum ini dilaporkan pasukan keselamatan memutuskan Kampung Tanduo, Lahad Datu yang menjadi lokasi pendaratan kumpulan penceroboh akan ditutup dan tidak lagi menjadi kawasan petempatan penduduk.

Sebagai Pengerusi Esszone, Musa berkata, beliau akan memastikan agar kebajikan setiap penduduk yang terjejas diberi perhatian sewajarnya.

"Penubuhan Esszone adalah satu langkah pragmatik bagi memperkukuhkan keselamatan negara dan semangat perpaduan rakyat terutamanya di kawasan Sabah Timur," katanya.

Berhubung persidangan itu, Musa berharap mereka yang terlibat dapat memanfaatkan sepenuh peluang yang disediakan menerusi forum itu bagi mendapatkan fakta yang tepat dan jelas berkenaan isu-isu insiden pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu dan penubuhan Esszone.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Musa berharap persidangan itu dapat memberi penjelasan dan penerangan mengenai Esszone selain berusaha memikul tangungjawab sebaik mungkin bagi memastikan rakyat yang terlibat mendapat pembelaan sebaiknya.

Kira-kira 500 peserta terdiri daripada pegawai daerah, penjawat awam dan swasta serta pemimpin masyarakat menghadiri persidangan sehari itu. - BERNAMA

Sumber :  © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...