Darahsatriadotcom

Followers

Friday, 12 April 2013

Anwar Buat PAS Hilang Arah!

Pilihan Raya Umum Ke-13 ternyata semakin memaparkan kecelaruan, kekeliruan dan ketaksuban Pas berpolitik dalam usaha meraih kuasa bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Kesediaan Pas untuk membenarkan calon-calon DAP menggunakan lambang Pas dalam pilihan raya umum tersebut sudah membuktikan bukan kata prinsip yang sanggup digadaikan, malahan lambang pun akan dipertaruhkan oleh Pas asalkan boleh ke Putrajaya.

Jika sesiapa juga yang mengkaji Perlembagaan Pas terutamanya Fasal 3, 4, 5 dan sebahagian Fasal 6 serta memikirkan kembali tindak-tanduk pemimpin-pemimpin DAP terhadap perjuangan Islam Pas, mereka pasti akan menganggap betapa terdesaknya Pas memburu kuasa politik.


Ia memandangkan, semua orang tahu bagaimana berani dan tegasnya, DAP menolak perjuangan Islam Pas. Malahan berikutan ketegasan DAP ini dan disokong oleh PKR, Pas akhirnya terpaksa mengorbankan perjuangan negara Islamnya.

Sedangkan tindakan itu bertentangan dengan Fasal 3 Perlembagaan Pas yang menyatakan, Dasar Pas adalah Islam dan Fasal 4 pula menyebut, seruan Pas adalah Allahuakbar.

Turut menarik perhatian ialah Fasal 5 perlembagaan tersebut yang menyatakan tujuan Pas ialah, memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredaan Allah serta mempertahankan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara.

Begitu juga apa akan jadi dengan Fasal 6 (2) yang menyatakan usaha-usaha Pas ialah; memperjuangkan Islam sebagai akidah dan syariah serta menjadikannya sebagai panduan berpolitik dan bernegara serta memperkenalkan nilai-nilai keIslaman dalam usaha menegakkan keadilan dan kemajuan di segenap bidang termasuk pemerintahan dan pentadbiran, ekonomi dan sosial serta pelajaran dan pendidikan.

Apabila Pas bersedia membenarkan DAP menggunakan lambangnya, maka Pas juga perlu bersedia meminda kesemua fasal-fasal di atas kerana ia tidak relevan lagi dengan perjuangan Pas kini. Pas perlu berbuat demikian dan bukannya terus bersikap hipokrit semata-mata demi kepentingan politik kerana DAP sama sekali tidak pernah dan tidak akan mempersetujui kesemua Perlembagaan Pas itu sebab itulah mereka menolak perjuangan Islam Pas sejak dulu, kini dan selamanya.

Tetapi kita tidak boleh salahkan DAP, sebaliknya pemimpin-pemimpin Pas yang bersalah kerana terlalu mengikut rentak politik sekutunya. Kalau benar Pas masih mempertahankan dasar Islamnya kenapakah tiada lagi perjuangan penubuhan negara Islam sebaliknya hanya wujud negara berkebajikan? Kenapakah Pas tidak menyatakan pendirian rasmi berhubung penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam?

Jika Pas masih lagi mahu berpolitik dan menganggap tidak salah calon-calon DAP menggunakan lambang parti itu dalam pilihan raya kononnya atas nama kerjasama terbuktilah Pas kini adalah sebuah parti yang semakin tiada maruahnya.

Perlu diingat, sikap DAP dalam soal berkaitan orang Melayu, Islam dan perjuangan Pas bukan perkara baru, sebelum ini pemimpin-pemimpin DAP pernah melakukan pelbagai tindakan yang mengguris perasaan umat Islam di negara ini tetapi Pas hanya mendiamkan diri.

Lupakah pemimpin dan penyokong Pas betapa konsistennya pemimpin-pemimpin DAP seperti Lim Kit Siang dan Karpal Singh menolak hukum hudud dan penubuhan negara Islam, malahan mereka menyatakan ia bukan polisi pakatan pembangkang.

Tidak cukup dengan itu, Karpal Singh pula mahu Pas patuh kepada persetujuan bersama yang dibuat oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.

Jika benar Pas mahu menjaga kesucian Islam seperti mana termaktub dalam Fasal 5 Perlembagaannya, kenapakah Pas tidak bertegas dalam soal penggunaan kalimah Allah? Kenapakah Pas tidak menegur apabila ada pemimpin-pemimpin DAP dan PKR menterjemah ayat-ayat al-Quran sesuka hati?

Pas khususnya Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Nik Mat sering memperlekehkan usaha memartabatkan Islam yang dibuat oleh UMNO malah terbaru menganggap solat orang UMNO tidak dapat pahala kerana tidak mengamalkan dasar Islam.

Tetapi kenapakah Pas tidak bertegas dengan sekutunya dalam soal-soal berkaitan Islam? Kenapa perlu bersikap double standard dalam soal ini?

Hakikatnya, Pas akan terus menjadi ‘pak turut’ dan akan diperalatkan habis-habisan oleh PKR dan DAP untuk meraih sokongan orang Melayu selagi mereka tidak menjadi dominan dalam pakatan pembangkang.

Walaupun Pas sudah mengumumkan akan bertanding 76 kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum akan datang, ia bukan bermaksud Pas boleh menjadi tonggak apatah lagi tulang belakang kepada kerjasama berkenaan. Kalau menang kesemua kerusi itu sekali pun Pas tidak akan mampu melaksanakan apa juga dasar-dasarnya.

Sebaliknya apa juga yang Pas hendak laksanakan perlu mendapat persetujuan PKR dan DAP. Apatah lagi kedua-dua parti itu turut akan mendapat sokongan padu golongan pro Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Pas atau kelompok yang dipanggil Anwarinas.

Penulis diberitahu, kelompok Anwarinas ini memang berhajat melihat Pas dan pembangkang menang besar dalam pilihan raya umum nanti kerana ia akan membantu mereka dalam pemilihan parti tidak lama lagi.

Sementara isu penggunaan lambang, pertembungan antara golongan ulama dan Anwarinas terus diperkatakan, pemimpin-pemimpin Pas juga ternyata semakin tidak bermaya untuk menghalang sikap mulut celupar Nik Abdul Aziz.

Bagi sesetengah pemimpin dan penyokong Pas yang dihubungi oleh penulis, keceluparan Nik Abdul Aziz kini bukanlah lagi dilihat senjata terbaik bagi menentang UMNO sebaliknya boleh membawa ‘mala petaka’ kepada parti itu.

Dalam kalangan Pas mereka sudah bosan dengan sikap lepas mulut Nik Abdul Aziz yang banyak menjejaskan imej Pas, semua itu berlaku kerana Nik Abdul Aziz melihat segala-galanya dari segi politik.

Sebab itulah sudah ada dalam kalangan pemimpin Pas ketika ditanya apakah wajar sebagai seorang ulama, Menteri Besar Kelantan tersebut bersikap demikian, mereka tidak teragak-agak menyatakan, pemikiran beliau semakin bercelaru kerana faktor usia dan kepentingan politik.

Malahan penulis difahamkan, dalam kalangan orang kanan Nik Abdul Aziz pun mereka semakin bimbang dengan sikap lepas mulut Mursyidul Am Pas itu kerana hujah beliau akan dibandingkan dengan ajaran Islam sebenar.

Tidak kiralah apapun hujahnya, apa yang pasti Pas akan menghadapi pilihan raya umum kali ini dalam keadaan yang cukup bercelaru termasuklah dari segi mempertahankan dasar Islamnya.
Berdasarkan tindak-tanduk pemimpin-pemimpin dan corak perjalanan politik Pas, jelaslah dasar Islam yang tertulis dalam perlembagaan parti itu hanyalah sekadar hiasan. Pas kini sudah sah bukan lagi parti yang memperjuangkan Islam tetapi sebuah parti yang semakin terdesak memperalatkan Islam sebagai modal untuk meraih sokongan politik.

Sumber : © Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...