Juga begitu
menakjubkan dan mungkin juga secara kebetulan Perdana Menteri ketika pertama
kali Sultan Abdul Halim menandatangani pembubaran Parlimen ialah Tun Abdul
Razak Hussein iaitu bapa kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.
Tetapi satu
perkara paling menarik dan juga kritikal untuk dihayati oleh rakyat Malaysia
adalah suasana pilihan raya 1974 adalah begitu getir sekali kerana keputusan
pilihan raya 1969 yang menjerumus kepada rusuhan kaum paling terburuk dalam
sejarah Malaysia.
Pengundi pilihan raya 1974 memikul tanggungjawab yang begitu berat pada ketika itu kerana pilihan mereka akan menentukan arah tuju politik negara sama ada mahu terus bersama dengan corak kepimpinan Barisan Nasional (BN) atau dengan pembangkang yang diketuai oleh DAP.
Pembangkang
terutama sekali DAP begitu yakin bahawa pengundi terutama sekali daripada kaum
Cina akan memilih mereka jika keputusan 1969 diambil kira yang banyak memihak
kepada DAP. Tetapi akhirnya rakyat Malaysia memilih corak perkongsian kuasa
yang diamalkan oleh BN dengan memberi mandat yang begitu besar malah melebihi
2/3 jumlah kerusi Parlimen.
Keputusan
pilihan raya umum 1974 telah mencorakkan kestabilan dan kemakmuran Malaysia
hampir empat dekad lamanya sehinggalah keputusan pilihan raya umum 2008 sekali
lagi mengulangi detik persimpangan ke mana arah tuju rakyat Malaysia.
Begitu
kritikalnya keputusan pilihan raya 1974 yang dibayangi oleh pilihan raya 1969
sekali lagi berulang kerana pilihan raya tahun ini juga dihantui oleh keputusan
pilihan raya 2008 yang tidak memihak kepada BN dan buat kali kedua gagal
memperolehi mandat 2/3 kerusi Parlimen seperti mana yang telah berlaku pada tahun
1969.
Tetapi
selama lima tahun pasca 2008 rakyat telah melalui era politik pembangkang yang
sedikit sebanyak telah mencacatkan keharmonian dan pembangunan negara. Memang
benar tidak berlaku rusuhan kaum tetapi politik melampau pembangkang yang telah
mempolitikkan segala isu daripada isu ekonomi, sosial, pendidikan sehinggalah
kepada hal keselamatan dan kedaulatan telah memporak-perandakan keharmonian dan
perpaduan rakyat.
Pengundi
Melayu dan India kebanyakannya telah akur dengan kesilapan 2008 kerana suasana
politik melampau tidak memberi manfaat kepada sesiapa. Tidak syak lagi wujud
perasaan pengajaran dan iktibar dari kalangan pengundi kedua-dua kelompok ini.
Tetapi
pembangkang begitu yakin bahawa pengundi Cina tetap akan menyokong mereka
seperti mana yang telah berlaku pada tahun 2008. Sebab itu Johor dikatakan
menjadi tumpuan mereka kali ini kerana persepsinya adalah pengundi Cina di
Johor dianggap sebagai undi penentu di kebanyakan kawasan sama ada Parlimen
atau negeri.
Johor juga
merupakan kubu kuat MCA kerana pilihan raya 2008 menyaksikan negeri itu
menyumbang tujuh kerusi Parlimen dari keseluruhan 15 yang dimenangi oleh parti
tersebut. Menjadi cita-cita DAP jika pengundi Cina Johor memilih mereka maka
MCA bukan sahaja dapat dihapuskan tetapi DAP akan menjadi parti yang paling
dominan dalam pembangkang.
Strategi
politik DAP yang berteraskan kaum Cina dan berada dalam kelompok pembangkang
adalah begitu berbahaya kerana ini memungkinkan senario kaum Cina tidak
diwakili dalam Kerajaan Pusat. Tambahan pula Presiden MCA Datuk Seri Dr. Chua
Soi Lek pernah menyatakan bahawa parti itu tidak akan menerima jawatan Kabinet
jika keputusan pilihan raya 2013 lebih buruk daripada 2008.
Begitu tidak
sihat bagi Malaysia jika sebahagian besar kaum Cina berada di luar kerajaan
jika diteliti pengajaran pengalaman yang dialami pengundi Melayu di Singapura.
Majoriti pengundi Melayu tidak menyokong kerajaan PAP pada pilihan raya 2001
kerana merasa terkilan dengan pendirian Singapura yang menyokong kempen memerangi
keganasan Amerika Syarikat yang ditafsirkan sebagai kempen menindas umat Islam.
Walaupun PAP
memperolehi jumlah sokongan yang begitu padu iaitu sebanyak 75 peratus undi,
tetapi sokongan tersebut hanya datang daripada satu kelompok pengundi sahaja iaitu
kaum Cina.
Tetapi
keputusan pilihan raya 2006 telah mempamerkan penghijrahan pengundi Melayu di
mana hampir 80 peratus telah kembali ke pangkuan PAP. Malah PAP dikatakan
bernasib baik masih mampu memperolehi 66 peratus undi hanya kerana ihsan
pengundi Melayu.
Berlakunya
perubahan sikap pengundi Melayu dari tahun 2001 hingga 2006 adalah kerana
selama lima tahun kaum Melayu bagaikan terpinggir daripada arus pembangunan
Singapura gara-gara di label sebagai penyokong pembangkang.
Pengundi
Cina di Malaysia tidak boleh memperlekehkan peranan yang telah dimainkan oleh
MCA selama lima tahun kebelakangan ini. Walaupun berada dalam keadaan yang agak
lemah kerana persepsi keputusan pilihan raya 2008, parti itu masih mampu
memainkan peranan yang agak efektif.
Hubungan
diplomatik dan ekonomi di antara Kuala Lumpur dan Beijing menjadi bertambah
erat terutama sekali ketika era kepimpinan Najib. Walaupun kedua-dua negara
mempunyai masalah pertindihan sempadan maritim di Laut China Selatan, tetapi
isu ini tidak bergolak seperti mana yang dihadapi oleh Filipina atau pun
Vietnam.
Begitu juga
dengan hubungan ekonomi menjadi bertambah rancak seperti pembinaan kompleks
penyelenggaraan kereta api oleh syarikat pengeluar lokomotif terbesar dunia
China South Locomotive & Rolling Stock Corporation Ltd. dan juga penubuhan
kampus cawangan luar negara Universiti Xiamen di Salak Tinggi adalah
manifestasi betapa pentingnya pengaruh MCA dalam Kerajaan Pusat.
Pengundi
Cina mempunyai tanggungjawab yang agak berat kali ini kerana pilihan mereka
akan menentukan arus pembangunan negara yakni sama ada mereka mahu bersama-sama
menjayakannya atau pun hanya menjadi pemerhati sahaja.
Sumber : © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...