Adakah 10 hari atau 14 hari. Adakah kita akan mengundi pada 27 April atau selewat-lewatnya 4 Mei? Semuanya dijangka diketahui esok (10 April) apabila SPR mengadakan mesyuaratnya selepas pembubaran Dewan Rakyat dan DUN minggu lalu. Mungkin minggu ini juga akan diketahui sebahagian besar calon yang akan diturunkan pada PRU nanti terutama yang bakal mewakili Barisan Nasional (BN).
Dalam kalangan parti pembangkang, sudah banyak nama calon didedahkan. Mereka termasuklah Lim Kit Siang (DAP-Gelang Patah), Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh), Abdul Hadi Awang (Pas-Marang), Dr. Haron Din (Pas-Arau) dan ramai lagi. Lim Guan Eng pula menarik balik hasrat untuk `bertarung dengan Pengerusi BN Pulau Pinang, Teng Chang Yeow. Selepas silap kira dan silap taip, Guan Eng silap buat cabaran. Anwar pula mungkin tidak begitu yakin untuk melakukan lompatan. Bukan mudah mahu mempengaruhi pengundi-pengundi di kawasan baharu. Maka langkah terbaik ialah menetap di Permatang Pauh. Sekurang-kurangnya di- sana masih ada penyokong tegarnya.
Biarlah pengundi-pengundi Permatang Pauh menghakimi beliau. Jika di situ karier politiknya bermula, di situ jugalah sewajarnya kedudukannya ditentukan sama ada dikekalkan di situ atau menyahut seruan ubah seperti slogan yang dilaungkan DAP. Bagi pengundi lama terutama yang sama-sama berjuang bersama Anwar pada peringkat awal di Permatang Pauh, mereka sudah lama meninggalkan bekas Presiden ABIM itu. Hanya orang baru yang entah macam mana terlalu taksub sehingga terpengaruh dengan aura Anwar dan tidak dapat meninggalkannya. Berdasarkan situasi semasa, adakah Anwar akan terus menguasai Permatang Pauh?
BN terutama UMNO Bahagian Permatang Pauh, tidak akan memberi laluan mudah kepada Anwar. Walaupun calon BN yang bakal diturunkan masih menjadi tanda tanya, tetapi gerak kerja yang diketuai Ketua UMNO Bahagian, Abdul Jalil Abdul Majid menampakkan kesungguhan. Apa yang penting apabila tiba masanya, bergeraklah seperti yang dirancang. Jangan berpatah balik di pertengahan jalan. Jangan menghilangkan diri apabila nama calon dimuktamadkan. Isu calon bukanlah satu isu baru. Ia berlaku setiap kali PRU. Masih ramai terutama pemimpin peringkat bahagian yang tertanya-tanya sama ada dipilih atau tidak. Tidak semua yang merasakan dirinya sebagai winnable candidate layak dipilih kerana masih ada calon yang terbaik. Janganlah membebankan pucuk pimpinan dengan mengatur rombongan atau menghantar memorandum untuk berbincang soal calon.
Siapa juga yang dicalonkan harus diletakkan pada kedudukan nombor dua manakala tempat pertama harus melihat kepada kepentingan dan kemenangan parti. Seperti yang pernah diselak minggu lalu, jika DAP mampu mengemukakan calon sama ada disebut sebagai calon payung terjun, bidan terjun, paracut, pelarian dan sebagainya tetapi dapat diterima dengan mendapat kemenangan, kenapa BN tidak boleh? Lihat sahaja bagaimana Kit Siang dan Guan Eng boleh mencipta kemenangan walaupun berpindah ke merata tempat. Penyokong BN harus bersedia menerima siapa sahaja yang dicalonkan seperti yang berlaku kepada parti pembangkang ini. Apa yang penting misi mesti menang bagi setiap calon yang mewakili parti. Tidak dinafikan, siapa calon juga amat penting tetapi dalam saat-saat genting ini, terima sajalah calon yang dipilih pucuk pimpinan. Masa untuk lobi melobi, merajuk dan protes sudah berakhir.
Bagi pemimpin UMNO, pada Perhimpunan Agung UMNO lalu, mereka sudah melafazkan: Kami orang UMNO berikrar untuk memberikan sokongan padu dan tidak berbelah bagi kepada calon-calon yang bakal dipilih oleh pucuk pimpinan parti untuk bertanding pada pilihan raya nanti.
Janji taat setia yang dipimpin oleh Timbalan Presiden UMNO, Muhyiddin Yassin itu juga berikrar Kami orang UMNO berjanji, taat dan setia kepada parti dengan memberikan sepenuh kepercayaan dan sokongan padu kepada Yang Amat Berhormat Presiden untuk memimpin kita mencapai kemenangan besar dalam pilihan raya nanti.
Bersedialah sokong siapa sahaja yang dicalonkan, sekali pun calon itu benar-benar muka baharu. Sama seperti ketika Dr. Mahathir Mohamad menyerahkan Anwar kepada UMNO Permatang Pauh sebagai calon pada 1982. Terimalah siapa sahaja yang dicalonkan. Harus diingat, seperti yang diselak sebelum ini, tidak mustahil akan ada calon-calon yang bukan anggota parti komponen. Mereka akan bertanding atas tiket BN. Situasi seperti ini juga dijangka berlaku kepada pakatan pembangkang.
Sejak tahun-tahun kebelakangan ini, banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang turut memainkan peranan membantu memulihkan sokongan kepada kerajaan. Tidak mustahil, jika mereka diberikan peranan sebagai calon untuk mewakili rakyat. Pemimpin parti politik terutama di peringkat bahagian juga harus bersedia menerima hakikat bahawa jawatan dalam parti bukan tiket untuk menjadi calon. Begitu juga bekas wakil rakyat yang tidak dipilih semula. Usah merajuk. Biarlah Kit Siang atau Nik Aziz Nik Mat terus bertanding. Mungkin masa anda sudah berakhir. Kini giliran anda membantu orang lain.
Mengambil contoh di Permatang Pauh semasa kali pertama Anwar diturunkan, seluruh jentera UMNO/BN bahagian bekerja keras memastikan kemenangan BN. Ibrahim Ali juga turun berkempen untuk sahabatnya itu (kini musuh politik). Begitulah semangat yang ditunjukkan. Maka kenapa tidak pada hari ini, sokongan serupa diberikan jika ditakdirkan calon di kawasan anda bukan dalam kalangan pemimpin yang anda kenali. Jangan kerana tidak dipilih atau calon pilihan di luar jangkaan, anda lari meninggalkan medan perjuangan untuk berehat di Medan atau bertukar menjadi musang berbulu ayam, gunting dalam lipatan atau musuh dalam selimut.
Sumber : © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...