Tegas
Perdana Menteri, janji yang disifatkan sebagai 'resipi malapetaka kepada
ekonomi' dan tidak masuk akal itu hanya akan menghalang keupayaan Petronas
untuk berkembang, melabur atau membuat pelaburan semula kerana sektor minyak
dan gas memerlukan modal perbelanjaan yang besar.
Malah
jelasnya, tuntutan pembangkang untuk membentuk satu jawatankuasa khas Parlimen
berhubung Petronas akan menampakkan 'cengkaman' kerajaan terhadap syarikat itu
yang pada asalnya diwujudkan dengan idea perlu bergerak sebagai organisasi
bebas tanpa dibebani campur tangan yang banyak daripada kerajaan.
''Bukan
hanya menjejaskan perbendaharaan negara, tetapi keupayaan Petronas untuk
melabur dan membuat pelaburan semula, meneroka sumber-sumber baharu, di samping
mempertahankan sumber sedia ada akan terjejas teruk. Anda di Petronas
seharusnya lebih mengetahui akan perkara itu.
''Ini adalah
fakta. Tan Sri Shamsul Azhar Abbas (Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas)
selalu menegaskan kepada saya bahawa Petronas perlu memiliki sumber yang cukup
untuk membuat pelaburan semula,'' katanya.
Najib
berkata demikian ketika berucap dalam satu perjumpaan beliau bersama warga
Petronas di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Majlis itu
dihadiri oleh 4,000 orang kakitangan Petronas termasuk Pengerusinya, Tan Sri
Mohd. Sidek Hassan.
Perjumpaan
tersebut merupakan satu nostalgia kepada Najib yang pernah memulakan karier
bersama Petronas sebagai Eksekutif Muda pada 1974 sebelum menceburi bidang
politik.
Najib
memberitahu, janji menurunkan harga minyak akan menyebabkan jumlah subsidi
kerajaan meningkat kepada RM30 bilion setahun dan ini memberikan implikasi
besar terhadap pelaburan-pelaburan Petronas yang produktif.
''Petronas
tidak akan berjaya menjadi organisasi terbaik seperti sekarang tanpa rizab yang
kukuh dan kemampuan untuk melabur. Jika subsidi terpaksa ditingkatkan, sumber
Petronas untuk pelaburan produktif terpaksa disalurkan kepada penggunaan
persendirian.
''Ini yang
saya katakan akan membawa kepada bencana ekonomi,'' tegasnya.
Beliau dalam
pada itu membidas tindakan pembangkang yang dilihat menggunakan 'gear undur'
terhadap pembangunan Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan
Petrokimia (RAPID) Petronas di Pengerang, Johor.
''Apabila
saya kata tentang RAPID, saya selalu kata, saya mahukan pembangunan yang
'rapid' (pantas). Tetapi pembangkang, mereka mahu guna gear undur dan tindakan
ini bertentangan dengan kepentingan Petronas,'' ujarnya.
Sementara
itu, katanya, walaupun Petronas bergerak dengan campur tangan yang minimum
daripada kerajaan, hubungan syarikat minyak dan gas itu dan kerajaan adalah
seperti seorang 'ayah dan anak'.
''Jika kita
menguruskan hubungan itu dengan baik dan positif, akan menguntungkan kedua-dua
pihak. Hubungan baik ini telah banyak menguntungkan apabila kerajaan berjaya
membawa Petronas dalam memainkan peranan di Tapak Rawatan Gas Kiyanli dan
Terminal Gas Petronas, Turkmenistan.
''Ini
termasuklah menyelesaikan perjanjian untuk Petronas mengambil alih syarikat
pengeluar gas Kanada, Progress Energy Resources. Semasa pentadbiran Tun Dr.
Mahathir Mohamad, Petronas dapat beroperasi di Sudan,'' katanya.
Beliau turut
melahirkan rasa bangga dengan pencapaian Petronas selama ini apabila berkembang
daripada modal perintis RM10 juta pada 1974 kepada satu sumbangan kumulatif
berjumlah RM733 bilion, tahun lalu.
''Daripada
kedudukan 311 pada 2000, kini Petronas berada di tangga 68 dalam senarai 500
Fortune Global. Ini membawa makna Petronas menjadi syarikat kebanggaan
negara,'' tambahnya.
Sumber : © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...