DAP digesa supaya tidak berat sebelah dan hipokrit dengan mengarahkan
bekas naib Pengerusinya, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim supaya berhenti
mendedahkan rahsia parti kepada umum.
Sebaliknya, DAP hendaklah terlebih dahulu menasihatkan bekas Timbalan
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Naib Presiden MCA,
Datuk Seri Chua Jui Meng supaya berhenti memburukkan UMNO dan Barisan
Nasional (BN) yang pernah diterajui mereka sebelum menyertai
pembangkang.
Naib Pengerusi Strategik MIC, Datuk R. Ramanan berkata, DAP tidak
layak bercakap tentang demokrasi tetapi pada masa yang sama bertindak
mengongkong kebebasan bersuara Tunku Abdul Aziz yang mempertahankan
prinsipnya.
"DAP jangan jadi hipokrit. Nasihat dulu 'konco-konco' kamu yang
sering menyebar 'fitnah' sebelum berani menuduh Tunku Abdul Aziz tidak gentleman.
"Mengapa DAP takut sangat dengan Tunku Abdul Aziz? Berani kerana
benar, hadapi kenyataan jika sebaliknya," katanya dalam kenyataan di
sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang memberikan
amaran kedua kepada Tunku Abdul Aziz supaya menghentikan perbuatan
mendedahkan kepincangan parti berkenaan.
Ramanan juga melahirkan rasa hairan dengan sikap 'kalut' ditunjukkan
DAP terhadap pendedahan demi pendedahan oleh Tunku Abdul Aziz.
Beliau berkata, selaku parti yang mendakwa menjunjung tinggi
demokrasi serta kebebasan bersuara, pendedahan Tunku Abdul Aziz
sepatutnya dijawab melalui hujah bernas serta jawapan yang menunjukkan
mereka berada di landasan benar.
"Namun, DAP mengambil langkah sebaliknya dengan mengugut Tunku Abdul
Aziz dua kali dalam tempoh dua hari. Rahsia apa yang besar sangat sampai
perlu dipertahankan bersungguh-sungguh?
"Jika mereka benar-benar bersih, DAP perlu belajar mendepani
pendedahan itu dan bukannya mengugut seperti ini. Mereka harus belajar
menerima kritikan dan bukan menjalankan ugutan setiap kali ditekan,"
tambahnya.
Ramanan mendakwa, kelantangan Tunku Abdul Aziz sebenarnya menimbulkan
kebimbangan berikutan pendedahan beliau 'menyusahkan' segelintir pucuk
kepimpinan DAP.
"DAP sudah tentu tidak menyangka Tunku Abdul Aziz akan keluar parti
dan membuat pendedahan kepada umum. Beliau adalah manusia berprinsip,
bukan semua pemimpin boleh dibeli.
"Segelintir pemimpin dalam parti itu bimbang pendedahan tersebut akan
memberikan imej buruk kepada DAP yang sejak akhir-akhir ini sering
dilanda kontroversi, di samping dilihat hanya memperjuangkan kepentingan
kaum tertentu," tegasnya.
Dalam pada itu, Ramanan turut menggesa Karpal dan Setiausaha Agung
DAP, Lim Guan Eng supaya tidak cuba mengalihkan perhatian umum dengan
bermain isu ini sehingga lupa dengan isu utama, pemilihan semula
Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC).
"Guan Eng perlu berhenti main 'tarik tali'. Sila beri penjelasan bila
agaknya DAP akan membuat pemilihan semula CEC? Masyarakat sudah bosan
dengan permainan ini," ujarnya.
Isu pemilihan CEC DAP menimbulkan keraguan kerana didakwa wujud
penyelewengan selepas parti itu dikatakan gagal memberikan notis kepada
753 perwakilan untuk mengundi dalam pemilihan tahun lalu, selain timbul
kemusykilan insiden memalukan iaitu salah kira undi.
Berdasarkan Seksyen 3A Akta Pertubuhan 1966, Pendaftar Pertubuhan
(ROS) tidak memberikan pengiktirafan kepada pemegang-pemegang jawatan
DAP yang dibentuk semasa pemilihan CEC parti itu dan mengarahkan
pemilihan semula diadakan.
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...