Ketua Penerangan Perkasa, Ruslan Kasim berkata, demonstrasi menghina negara sendiri oleh rakyat ketika berada di luar negara merupakan tindakan seorang pengkhianat dan petualang.
"Perlakuan biadab itu layak dilucutkan kewarganegaraan mereka kerana apa makna mengaku jadi rakyat Malaysia tetapi menjadi api dalam sekam, duri dalam daging yang sanggup pula diperalatkan oleh kuasa luar untuk sama-sama menghina negara bumi dipijak langit dijunjung, tempat tumpah darah kita sendiri," katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataannya mengulas tindakan sekumpulan rakyat Malaysia melakukan demonstrasi Ahad lalu di depan pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Belgrave Square, kemudian berarak ke Parliament House dan berakhir di Trafalgar Square, London.
Mengulas lanjut, Ruslan mendesak pihak Jabatan Pendaftaran Negara bertindak tegas dan Jabatan Imigresen boleh membatalkan kebenaran untuk mereka ke luar negara.
"Demonstrasi itu berupa hasutan untuk mencemarkan nama baik negara sendiri di mata dunia. Berani buat beranilah tanggung.
"Malang bagi mereka berada di negara yang maju tetapi otak, pemikiran, sikap dan tingkah laku jauh terkebelakang dan mundur tatkala orang lain berbangga dengan negara sendiri bak kata pepatah hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri," ujarnya.
Ruslan berkata, perbuatan itu tidak bertamadun dan demokratik apabila mereka tidak langsung belajar bagaimana menghormati keputusan rakyat seperti mana dilakukan oleh penduduk di sana (United Kingdom) selepas pilihan raya umum diadakan.
"Sedarlah, mereka yang buat bising dan hiruk-pikuk menjerit menyatakan tak puas hati adalah minoriti sedangkan majoriti senyap bersetuju dan akur kepada keputusan PRU-13 haruslah dihormati.
"Bersikaplah 'gentlemen' macam Barisan Nasional (BN) yang akur dengan keputusan tewas di Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan, maka pakatan pembangkang haruslah juga mengamalkan sikap sama," jelasnya.
Ruslan mengingatkan mereka yang terlibat agar tidak meletakkan undang-undang di tangan sendiri dan 'cuba beraja di mata, berhakim di hati dan bersaksi di kepala lutut sendiri'.
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...