Darahsatriadotcom

Followers

Thursday 9 May 2013

Bila Anwar Ikut Hawa Nafsu!

Sikap pembangkang tidak mahu menerima hakikat gagal menumbangkan Barisan Nasional (BN) di peringkat Kerajaan Pusat dikecam pelbagai pihak termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ini kerana ia adalah sikap double standard paling parah apabila pembangkang boleh pula menerima kemenangan di Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan dalam sistem pilihan raya yang sama.

Sebenarnya, kepimpinan pakatan pembangkang pusat yang dikepalai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu belajar mencontohi Pas Kedah yang walaupun 'kalah terduduk' tetapi masih boleh menerima hakikat.

Kepimpinan Pas Kedah diketuai Pesuruhjayanya Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Timbalannya, Datuk Ir. Phahrolrazi Zawawi menerima kekalahan tersebut dengan hati terbuka dan profesional.

Phahrolrazi sebaliknya memberitahu bahawa Perhubungan Pas Kedah akan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mencari punca kekalahan teruk parti itu di negeri ini apabila hilang tujuh daripada 16 kerusi yang dimenangi pada 2008.

Sikap Phahrolrazi yang tenang ketika ditemui di Istana Anak Bukit baru-baru ini jauh berbeza dengan sikap melatah pemimpin pembangkang peringkat pusat termasuk Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang awal-awal lagi menuduh wujud unsur penipuan hingga dia tersungkur di kubu kuat Pas, Pendang.

Hakikatnya, bukan Pendang sahaja malah hampir semua kubu kuat Pas lain seperti Baling, Jerai, Sik dan kawasan yang terdapat sedikit jumlah pengundi Cina menyaksikan Pas tewas teruk.

Kubu kuat Pas hanya tinggal kerusi-kerusi di Kuala Kedah dan Pokok Sena!

Pada pilihan raya Umum Ke-13 (PRU-13), Pas bertanding di 24 kerusi tetapi hanya menang di sembilan kerusi iaitu Bukit Pinang, Alor Mengkudu, Anak Bukit, Kubang Rotan, Pengkalan Kundur, Tokai, Sungai Limau, Kuala Ketil dan Merbau Pulas.

Walaupun semua kenyataan itu ibarat pahit hendak ditelan, tetapi diterima dengan gentleman dan berjiwa besar oleh pemimpin Pas Kedah kerana dalam pertandingan menggunakan sistem yang sama, tentu ada kalah ada menang.

Inilah yang patut dipelajari oleh kepimpinan pusat pakatan pembangkang dan betapa tidak rasional sikap selektif mempertikaikan proses demokrasi yang berjalan dengan baik semata-mata untuk memenuhi cita-cita peribadi.

Apa pun, ia juga membuktikan manusia yang terlalu 'bernafsu' terhadap kuasa iaitu untuk memegang tampuk pemerintahan negara atau menawan Putrajaya sukar menerima fakta yang rasional.

Ini berlaku apabila hawa nafsu menewaskan akal yang waras.

Sumber : © Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...