Darahsatriadotcom

Followers

Thursday, 9 May 2013

Realpolitik Ala DAP...

Sebuah artikel di dalam akhbar berbahasa Cina kelmarin mengemukakan pandangan, sekali gus memberikan pujian melambung kepada DAP yang dianggap sudah mencipta sejarah baharu dalam dinamisme politik Malaysia. DAP digambarkan sebagai parti politik yang paling berjaya dalam pakatan pembangkang.

Pencapaian DAP diberikan gambaran sebagai brilliant dan hebat. Kejayaan 100 peratus DAP di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Negeri Sembilan juga dilambung sebagai sangat luar biasa. Daripada senarai 50 Yang Berhormat mendapat undi majoriti tertinggi, 48 daripadanya adalah pemimpin dan calon DAP, jelas akhbar tersebut.

Kita boleh menerima kegembiraan media berbahasa Cina dengan kemenangan DAP. Mungkin sahaja agaknya kemenangan DAP adalah satu kemenangan moral yang sangat mereka tunggu-tunggu selama ini.

Media berbahasa Cina sentiasa sahaja memberikan gambaran positif mengenai DAP dan meletakkan pemimpin mereka sebagai peneraju pendapat umum di dalam media mereka selama ini.

Dengan diperkukuhkan sandiwara ‘air mata buaya’ dua tiga hari sebelum PRU bermula, kononnya DAP tidak dapat menggunakan logo ‘roket’ adalah satu kaedah DAP untuk menentukan undi akan memihak kepada mereka. Kesemua ini, disusun teliti untuk menzahirkan laba politik maksimum.

Hari ini, ‘air mata buaya’ pemimpin veteran itu sudah pastinya bertukar menjadi senyuman manis hingga ke telinga. Memenangi 38 kerusi Parlimen dan 95 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah satu pencapaian yang luar biasa kepada parti tersebut. Sandiwara air mata, menjadi durian runtuh politik kepada DAP.

Nyata, kejayaan DAP di dalam PRU-13 berdasarkan realpolitik (aliran politik berdasarkan kenyataan- kenyataan, politik praktikal) yang sudah mereka pupuk di Malaysia buat sekian lama. Memberikan ‘wajah’ bahawa mereka adalah mangsa berterusan kepada sebuah sistem yang korup dan kejam, menjadi suara mutlak kononnya kepada ketidakadilan yang berlaku, DAP akhirnya mendapat laba politik yang diharapkan.

Realpolitik membawa makna satu pendekatan politik yang praktikal, berasaskan kuasa dan tidak terlalu dibeban dengan soal ideologi dan moral. Ada juga yang mendefinisikan realpolitik sebagai permainan politik Machiavelli - matlamat menghalalkan cara.

DAP pastinya membaca dinamisme politik secara cukup jelas. Menggunakan sentimen perkauman, memberikan gambaran buruk kepada pemimpin Barisan Nasional (BN) khususnya MCA dan Gerakan pastinya akan membawa kemenangan moral DAP pada suatu ketika. Apa yang berlaku pada PRU-13 adalah kemuncak kepada ‘permainan’ realpolitik ala-DAP.


No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...