Dan seperti dijangka dari sebelum Parlimen dibubarkan sehinggalah berakhirnya pilihan raya Ahad lalu, cerita-cerita tentang politik, tentang PRU hingga sekarang ini tidak habis-habis dibualkan. Senang cakap, yang kalahlah paling banyak bunyi.
Penyokong-penyokong tegar parti-parti politik ini tidak habis-habis menjadi pengulas, berkongsi gambar dan maklumat yang entah dari mana datangnya, dan memprovokasi di media-media sosial. Mereka terus memaki hamun pihak yang menang dan bergaduh sesama sendiri.
Apa lagi yang kita mahu wahai rakyat Malaysia? Bila Parlimen belum dibubarkan, mereka ini mendesak agar cepat dibubarkan. Bila kita ternanti-nanti tarikh PRU-13 diumumkan, mereka yang ini juga bising kenapa lewat hendak umum, takutkah? Dan bila keputusan PRU sudah keluar, puak-puak yang ini jugalah lagi yang buat bising.
Kita sudah melalui proses demokrasi dan rakyat majoritinya telah pun membuat pilihan. Bukan semua kawasan dimenangi oleh BN dan begitu juga pakatan pembangkang. Melihat kepada keputusan PRU-13, kita boleh nampak ia adalah persaingan yang sengit antara BN dan juga pakatan pembangkang. BN juga tidak menunjukkan prestasi yang baik dalam PRU-13.
Ada beberapa tokoh dalam kalangan parti BN yang tumbang dan begitu juga dengan pakatan pembangkang terutamanya Pas.
Jika ini bukan satu pilihan raya yang adil, boleh saja, negeri Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan, BN borong semua sekali. Kenapa pula agaknya pakatan mengiktiraf kemenangan mereka di negeri-negeri tersebut jika sistem pilihan raya tidak adil?
Kenapa pengundi-pengundi hantu tidak diletakkan di kawasan Lim Kit Siang bertanding? Dia lawan Datuk Abdul Ghani Othman yang sudah lama menjadi Menteri Besar Johor. Mengapa pula pengundi-pengundi hantu tidak dapat masuk ke Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan? Mengapa huru-harakan dan menakutkan orang yang rupa parasnya tidak seperti warganegara Malaysia untuk mengundi? Tidakkah itu seperti takut dengan bayang-bayang sendiri.
Mengapa pula black out tidak berlaku di seluruh negara? Terima saja kenyataan, inilah pilihan rakyat. Anda kononnya menuntut pilihan raya yang adil, anda yang sebenarnya tidak berlaku adil kepada rakyat Malaysia keseluruhannya.
Jangan memperlekeh dan menghina pilihan rakyat Malaysia. Pada hari pengundian, rakyat di seluruh negara ini penat dan sabar beratur panjang untuk mengundi. Ada yang mendukung anak kecil, meredah hujan lebat, ada datang berkerusi roda, bertongkat, dan ada yang datang dengan menaiki sampan. Dan sehari sebelum itu, ramai yang berbondong-bondong mengharungi kesesakan di lebuh raya balik ke kampung halaman. Hormatilah pilihan mereka ini.
Sekiranya tidak berpuas hati dan kecewa, lima tahun lagi akan ada satu lagi pilihan raya umum. Dan dalam tempoh lima tahun ini penyokong-penyokong tegar ini, nanti dan tunggu sahajalah apakah yang dijanjikan oleh pemimpin-pemimpin parti yang menang ini akan ditunaikan. Sekiranya tidak, bolehlah ubah di peti undi kelak.
Memang tidak salah meluahkan rasa kecewa. Rasa kecewa dan sedih boleh jadi lega jika ia diluahkan, tetapi jangan kerana kekecewaan yang bukan mewakili majoriti rakyat Malaysia ini, anda menyusahkan orang lain dan menjejaskan kedudukan negara ini.
Anda beri malu kepada negara ini, buat kerja tidak masuk akal, meminta bantuan dari negara luar. Anda minta bantuan dari Amerika Syarikat melalui media sosial, meminta campur tangan supaya diadakan semula PRU. Anda mengaku anda rakyat Malaysia, adakah itu perbuatan rakyat Malaysia yang setia dan sayangkan negaranya?
Jangan kerana melayan kegilaan pemimpin parti pembangkang yang tidak habis-habis memperjuangkan nasib dirinya itu, kita semua terikut sama menjadi gila seperti dia.
Sekarang adalah masa untuk rakyat melihat sama ada pemimpin pilihan mereka menepati janji-janji dalam manifesto. Pemimpin-pemimpin ini, seharusnya fokus kepada kawasan masing-masing. Bila sudah dipilih, inilah masa bekerja untuk rakyat.
Begitu juga dengan pemimpin-pemimpin pembangkang yang menang. Rakyat telah mengundi anda, bermakna rakyat percayakan anda. Jaga sama kawasan yang dimenangi. Jangan hanya tahu mengajak rakyat berdemonstrasi. Jangan sekadar hebat bercakap di pentas ceramah politik. Kawasan sendiri terbiar dan pengundi mereka kelak terpaksa pula meminta bantuan pemimpin BN untuk selesaikan masalah mereka.
Sumber : © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...