Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng perlu berhenti bersikap biadab
dengan terus berlakon menjadi mangsa Pendaftar Pertubuhan (ROS) demi
kepentingan peribadi.
Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berkata,
tindakan menggelar ROS sebagai gila talak adalah kurang ajar dan
dilakukan semata-mata untuk menutup dakwaan manipulasi undi dalam
pemilihan Jawatankuasa Pusat (CEC) parti Disember lalu.
Saban hari ahli parti dan akar umbi merayu padanya supaya
pemilihan diadakan semula, apa yang beliau lakukan? Tiba-tiba kata ROS
gila talak dan tubuhkan pula panel khas menyiasat kekotoran yang
didakwa berlaku dalam pilihan raya umum baru-baru ini.
Kenapa tidak tubuhkan panel siasat parti sendiri? Semua orang tahu
kebersihan perlu bermula dari rumah sendiri tetapi beliau seperti
terlupa, beliau cuba gambarkan diri sebagai mangsa di luar tetapi di
dalam parti, ahli-ahli melihat Guan Eng sebagai diktator dan bongkak,"
katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas sikap Guan Eng yang bertindak menuduh ROS sebagai
gila talak kerana mendakwa pertubuhan itu sering membuat kenyataan
yang mengelirukan berhubung status pemegang jawatan CEC parti berkenaan.
Sebelum ini, pelbagai persoalan ditimbulkan termasuk oleh ahli DAP
sendiri yang mendakwa CEC parti berkenaan tidak sah dan meragukan
sehingga mendesak ROS menjalankan siasatan.
Tunku Aziz berkata, ROS tidak harus berlembut dan memberi muka
kepada Guan Eng sebaliknya perlu membuat keputusan tegas agar Ketua
Menteri Pulau itu berhenti merasakan dirinya kebal daripada tindakan
undang-undang.
Jika beliau benar-benar telus dan berjiwa rakyat, andai beliau
bersungguh-sungguh mengakui kesilapan kiraan undi pada pemilihan lepas,
mengapa sehingga kini gagal menurut arahan ROS dan permintaan akar umbi
agar mengadakan pemilihan semula?
Beliau benar-benar besar kepala dan fikir dirinya kebal
undang-undang. Saya juga yakin selepas ROS membuat keputusan muktamad
sekalipun, Guan Eng akan tetap tidak bekerjasama dengan memberikan
pelbagai alasan, sifat ini sungguh menjengkelkan," ujarnya.
Dalam pada itu, bekas Ketua Cawangan DAP Taman Seri Sungai Pelek, Tan
Tuan Tat menasihatkan Guan Eng supaya tidak berterusan mencari
publisiti murahan selain menyalahkan semua pihak berhubung pemilihan CEC
tersebut.
Sumber : © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...