Pesuruhjaya Pas Terengganu, Abdul Wahid Endut berkata, Pas berpegang kepada prinsip politik matang dan sama ada keputusan PRU memberi kemenangan atau kekalahan tetap diterima dengan berlapang dada.
"Kita tak mahu politik fesyen lama, kita gentleman. Kita terima menang atau kalah (keputusan PRU-13). Kita dah rasa semua, kalah dan menang kita dah rasa, tapi banyak kalah dari menanglah.
"Tak apalah, tapi kita nak politik kita lebih matang, jangan ada unsur dendam dan benda-benda yang tak sepatutnya berlaku dalam senario politik sekarang," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Perhubungan Pas Terengganu di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalannya, Satiful Bahri Mamat; Ketua Dewan Pemuda Pas negeri, Mohd. Nor Hamzah; Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, Dr. Alias A. Razak.
Ditanya mengenai tindakan Anwar yang masih ghairah meneruskan perhimpunan haram di serata negara bagi membantah keputusan PRU-13, Abdul Wahid berkata, itu merupakan hak masing-masing untuk meluahkan perasaan.
"Itu nak luahkan perasaan dan itu hak masing-masing dalam bentuk apa cara sekalipun sama ada ceramah atau perhimpunan, itu hak masing-masing. Hak demokrasi, ia bebas nak ceramah atau apa saja.
"Tapi kami (Pas) juga akan adakan ceramah selepas ini dan saluran yang kami ada adalah ceramah, kami luahkan perasaan kami. Kami terima hakikat, keputusan (PRU-13) kami terima tapi penipuan tak boleh dibiarkan dan kami akan dedahkan," jelasnya.
Beliau bagaimanapun memuji serta menyokong usaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat pelbagai penambahbaikan dalam PRU-13.
"Kita puji SPR, ada usaha penambahbaikan kita sokong tapi kita harap kalau boleh dakwat kekal biarlah betul-betul kekal, mungkin tak sempat beli yang mahal, dia (SPR) beli dari India kot," katanya.
Mengenai pendirian Nasharuddin Mat Isa yang tidak akan berputus asa untuk meneruskan usahanya ke arah penyatuan Pas dengan UMNO walaupun mendapat bantahan pemimpin Pas sendiri, Abdul Wahid menyifatkan itu sebagai pandangan peribadi bekas Timbalan Presiden Pas itu.
Bagaimanapun, beliau membayangkan Pas mungkin tidak menghadapi masalah berkaitan 'usaha' itu dan menyerahkan kepada apa yang akan berlaku kelak.
"Tapi kita banyak pengalaman, bila lemas (UMNO) cari tempat bergantung, bila dah segar molek kita pula ditekan supaya kita pula kena teruk, kita tak mahu benda ni berulang. Tapi bagi 'usaha', kita tak ada masalah, apa-apa yang berlaku akan datang kita tak tahu," ujarnya.
Sumber : © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...