Darahsatriadotcom

Followers

Thursday 16 May 2013

Karier Politik Anwar Ibrahim Bakal Berakhir...

Karier politik Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sepatutnya sudah berakhir selepas kegagalan pakatan pembangkang menawan Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum Ke-13, 5 Mei lalu.
 
Bekas Setiausaha Biro Penerangan Pemuda PKR, Nordin Ahmad berkata, kejayaan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum lalu jelas menunjukkan bahawa rakyat mahukan Datuk Seri Najib Tun Razak kekal menerajui negara, sekali gus menolak Anwar sebagai Perdana Menteri.

"Sehubungan itu, wajar untuk Anwar mengambil tanggungjawab atas kekalahan pakatan pembangkang tersebut dengan mengundur diri daripada arena politik sebagaimana pernah dijanjikannya sebelum ini.

"Namun sedia maklum, Anwar begitu kepingin menjadi Perdana Menteri, jadi segala janjinya dahulu sebenarnya satu pembohongan dan ketamakan kuasanya. Ini jelas boleh dilihat menerusi tindakannya yang terus memainkan isu keputusan PRU-13 yang tidak telus," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas tentang hasrat Anwar pada 17 Ogos 2012 untuk mengundur diri daripada dunia politik dan memilih menjadi pensyarah. Hasrat Ahli Parlimen Permatang Pauh itu tersebar melalui laman YouTube yang dirakam dalam program Borak Anwar.
 
Sementara itu, tambah Nordin, janji Anwar untuk mengundur diri itu sebenarnya hanya mainan politik semata-mata untuk menarik simpati rakyat.

"Anwar memang pandai berlakon, malah beliau juga cukup licik dan sentiasa mencari alasan atas setiap perbuatannya. Itulah sikap Anwar yang perlu disedari rakyat negara ini terutama para penyokongnya," katanya.

Presiden Kelab Wartawan Muda Malaysia (KWMM), Dzulkarnain Taib pula berpendapat, keengganan Anwar mengundur diri sudah dijangka jika dilihat daripada pembohongan yang dilakukannya sebelum ini kepada rakyat.

Dzulkarnain yang merupakan bekas Ketua Pengarang Suara Keadilan itu menambah, janjinya untuk membentuk kerajaan pada 16 September 2008 merupakan pembohongan terbesarnya kepada rakyat.

"Anwar sepatutnya tidak layak memegang sebarang jawatan politik atau Ketua Pembangkang di Parlimen," katanya.

"Anwar tidak mempunyai integriti. Beliau sendiri tidak mampu bercakap benar, bagaimana mampu menjadi pemimpin kepada rakyat, jauh sekali untuk sebagai Perdana Menteri," katanya.

Ujar Dzulkarnain, Anwar boleh dianggap sebagai individu yang kemaruk inginkan jawatan Perdana Menteri jika dilihat sikapnya yang seringkali menyalahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) atas kegagalan pakatan pembangkang dalam PRU-13.

"Dia ingat rakyat kini menyokong perjuangannya itu berdasarkan kehadiran ribuan penonton dalam setiap ceramah yang dihadirinya.

"Namun, sebaliknya berlaku kerana rakyat kini bijak dan majoriti membuat keputusan mahukan Najib kekal sebagai Perdana Menteri. Anwar perlu akur dengan suara rakyat tersebut dan patut berundur," katanya.

Sumber : © Utusan Melayu (M) Bhd

1 comment:

  1. Allah Maha Tahu... telah tidak mengizinkan anwar menjadi PM... jika anwar seorang Islam sejati, dia akan menerima qada dan qadar...

    ReplyDelete

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...