Darahsatriadotcom

Followers

Monday 13 May 2013

Kaum Cina Ditipu Anwar, Kit Siang!

Masyarakat Cina ditipu menerusi slogan kesamarataan kaum dilaungkan pembangkang dalam kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu apabila menganggap hak istimewa Melayu dan Bumiputera akan dihapuskan jika pakatan itu menubuhkan kerajaan.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz mencabar Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melayu dalam PAS, PKR dan DAP, sama ada mereka bersetuju meminda Perlembagaan bagi menghapuskan hak istimewa orang Melayu dan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan. 


“Orang Cina silap percaturan memikirkan jika pakatan pembangkang jadi Kerajaan Pusat, hak istimewa Melayu akan dihapuskan. Jadi sekarang kita nak beritahu, Cina sudah tertipu. 


Salah tafsir konsep 1Malaysia

“Mereka ingat bila pembangkang naik (jadi kerajaan) boleh hapuskan hak istimewa Melayu disebabkan konsep 1Malaysia kerana tafsiran mereka terhadap 1Malaysia ini adalah semua sama rata, tiada lagi hak istimewa Bumiputera,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis kesyukuran kemenangan Barisan Nasional (BN) Parlimen Padang Rengas di padang Sekolah Kebangsaan Tanah Merah, di sini semalam. Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lubuk Merbau, Datuk Siti Salmah Mat Jusak dan ADUN Chenderoh, Zainun Mat Nor.

Mengenai konsep 1Malaysia diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, beliau berkata, definisi 1Malaysia disalah tafsir generasi muda khususnya masyarakat Cina kerana menganggap ia bermaksud semua kaum diberi hak sama rata. 


“Mereka berasa konsep 1Malaysia semua kena sama rata, sedangkan kita masih lagi ada hak Bumiputera. Awal-awal lagi Datuk Seri Najib sudah beritahu 1Malaysia berpaksikan kepada Perlembagaan, tetapi mereka silap pertimbangan dan memikirkan konsep itu tidak ikhlas.

“Jadi untuk menunjukkan betul-betul 1Malaysia, mereka beranggapan kena buang BN, kena ambil parti baru. Mereka lupa dalam pakatan pembangkang ada 21 Ahli Parlimen PAS yang Melayu dan Islam dan saya kira ada 15 lagi Ahli Parlimen Melayu Islam dalam PKR. 

“Beranikah mereka nak pinda Perlembagaan dan buang hak Melayu? Jika mereka berani, saya cadangkan mereka pinda Perlembagaan negeri di Selangor dan buang semua peruntukan dan kepentingan hak Melayu di negeri itu kerana mereka sudah ada kuasa dua pertiga untuk bentuk kerajaan,” katanya.

Bidas Anwar, Kit Siang

Nazri turut membidas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang mendakwa pembangkang boleh membentuk Kerajaan Persekutuan selepas menerima undi popular lebih tinggi berbanding BN, sedangkan keputusan siapa menang dan menjadi pilihan rakyat sudah diketahui.

Beliau juga menggelar Anwar dan Kit Siang penipu kerana bersedia menerima keputusan pilihan raya di Pulau Pinang dan Selangor, tetapi menolak kekalahan di Perak dan Persekutuan.


Sumber : Berita Harian Online

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...