Perdana Menteri yang mendapat mandat baru, boleh membentuk kabinetnya daripada 133 Ahli Parlimen BN yang menang pada pilihan raya umum Ahad lalu, termasuk dari Sabah dan Sarawak atau memilih yang kalah dengan melantik mereka sebagai senator.
Mereka yang dipilih dijangka diumumkan esok dan mengangkat sumpah jawatan Rabu ini.
Berdasarkan amalan sebelum ini, Perdana Menteri memilih wakil daripada 14 parti komponen BN untuk jawatan Menteri dan Timbalan Menteri. Namun, kali ini kemungkinan tiada wakil MCA dan GERAKAN yang memutuskan tidak mahu wakil parti dipilih berikutan persembahan buruk dalam PRU-13.
Dalam pilihan raya itu, UMNO menang 88 kerusi, MCA tujuh, MIC empat dan GERAKAN satu kerusi. Di Sarawak, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menang 14 kerusi; Parti Rakyat Sarawak (PRS) enam; Parti Tindakan Demokratik Sarawak (SPDP) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) masing-masing empat; UPKO tiga, manakala LDP, PBRS dan SUPP masing-masing satu.
Bagaimanapun, ramai berpendapat permintaan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, supaya parti itu tidak diberi jawatan dalam Kabinet mungkin tidak menjadi kenyataan untuk menggambarkan suasana harmoni dalam pentadbiran kerajaan.
Barisan Kabinet dijangka menampilkan muka baru kerana ramai yang digugurkan dan penyandang menteri serta timbalan kalah ketika pilihan raya, menyebabkan beberapa portfolio perlu diisi dengan muka baru jika penyandang tidak dilantik sebagai senator.
Nama Ali Rustam, Ghani dipertimbang
Antaranya, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin yang menawarkan diri berkhidmat sebagai menteri, selain Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim (Baling), Datuk Abdul Rahman Dahlan (Kota Belud) dan P Kamalanathan (Hulu Selangor).
Selain itu, berikutan kekosongan, beberapa bekas menteri seperti Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis kemungkinan dilantik kali ini. Calon lain ialah bekas Setiausaha Parlimen, Datuk Seri Dr Hilmi Yahya dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Selain itu, ketiadaan ramai Ahli Parlimen wanita memungkinkan Datuk Halimah Mohamed Sadique (Tenggara) dan Datuk Azizah Mohd Dun (Beaufort) yang menewaskan Datuk Lajim Ukin yang meletak jawatan dan keluar BN tahun lalu dan Datuk Nancy Shukri (Batang Lupar) dilantik sebagai Menteri atau timbalan.
Bagaimanapun, kegagalan bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan bekas Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman yang masing-masing tewas di Bukit Katil dan Gelang Patah, dijangka dilantik sebagai Menteri.
Kementerian baru
Berdasarkan aku janji BN dalam manifestonya, Najib juga dijangka mewujudkan kementerian baru, seiring dengan anjakan demografi bandar dan menangani cabaran sosial ekonomi bandar. Bagi tujuan itu, beliau dikatakan akan merombak Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar.
Namun, ada yang menjangka Najib akan menambah kementerian daripada 25 ketika ini kerana ada cadangan sebelum ini supaya beberapa kementerian diasingkan untuk penyesuaian pentadbiran, sekali gus menyebabkan ada penambahan portfolio baru.
Selain itu, Najib dijangka mengekalkan kabinet tanpa Setiausaha Parlimen bagi memastikan BN mempunyai ramai Ahli Parlimen penyokong kerajaan di Dewan Rakyat.
Senarai kali ini juga bakal menyaksikan ketiadaan Datuk Seri Dr Rais Yatim, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui, Datuk Seri Kong Cho Ha, Datuk Seri Chor Chee Heung, Tan Sri Bernard Dompok dan Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin yang tewas dan tidak bertanding semula kecuali mereka dilantik sebagai senator.
Timbalan Menteri yang tewas pula ialah Datuk Saifuddin Abdullah, Dr Mohd Puad Zarkashi, Datuk S K Devamany, Datuk Liew Vui Keong, Datuk Tan Lian Hoe dan A Kohilan Pillay.
Sumber : Berita Harian Online
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...