Keputusan Pilihan Raya Umum (PRU-13) sama sekali
tidak mengejutkan. Berdasarkan strategi yang diatur oleh Pakatan Rakyat
dengan serangan utama disasarkan ke negeri Johor, jelas sekali DAP
adalah perancang utama Pakatan Rakyat dan menjadi kuasa penentu dalam
pemilihan calon sehinggakan Chua Jui Ming sendiri akhirnya terpaksa akur
apabila 'ditendang' ke Segamat.
DAP yang mensasarkan kawasan boleh menang mereka di kawasan undi
penentu Cina juga secara licik berjaya menjadikan Anwar Ibrahim, Abdul
Hadi Awang dan lain-lain pemimpin Melayu dalam Pakatan Rakyat sebagai
promoter dan penggempur tembok kebal Melayu di Johor dengan sangat
berkesan.
Biarpun ramai yang mengeluh, kecewa, marah dan bimbang dengan tsunami
Cina itu, ia perlu dilihat sebagai suatu rahmat yang datang bersama
ingatan dan amaran bahawa cabaran politik Islam-Bumiputera-Melayu di
masa depan amatlah getir, kritikal dan sangat mencabar.
Sudah dua kali BN terselamat daripada kehilangan kuasa dalam PRU-12
dan PRU-13. Sudah dua kali juga kita terpaksa berhempas pulas cuba
memenangi hati rakyat bukan bumiputera khususnya orang Cina dengan
pelbagai tawaran yang sarat dengan pelbagai kompromi dalam pendidikan,
ekonomi, dasar meritokrasi hatta Dasar Ekonomi Baru (DEB) biarpun
kompromi ini sangat mengguris hati bumiputera.
Sangat benar kenyataan bahawa apa lagi yang dimahukan bangsa Cina.
Cukup, cukup sudah ! BN khususnya UMNO perlu memberikan reaksi dan
menyahut cabaran yang diberikan dengan penuh berani dan jauh sekali dari
bersikap apologetik. Tidak mengapa jika pengundi Cina tidak menerima
segala pembaharuan dan kompromi walaupun Perikatan dan BN sebenarnya
telah memberikan yang terbaik kepada rakyat negara ini sejak merdeka
lagi. Pedulikan mereka. DEB yang lebih pragmatik dan inklusif perlu
diperkenalkan semula.
Kementerian Pembangunan Usahawan dan dasar-dasar yang memberikan
keutamaan kepada agenda ekonomi bumiputera dan rakyat berpendapatan
rendah perlu dipulihkan semula sebagai tanda penghargaan di atas
sokongan dan kesetiaan mereka kepada UMNO dan BN. Begitu juga dengan
dasar meritokrasi yang wajib diolah semula bagi meneruskan semula agenda
bumiputera yang belum selesai itu.
Jika benar kita mendokong demokrasi, ini juga adalah sebahagian
daripada aspirasi bumiputera yang perlu dipenuhi oleh kerajaan BN yang
disokong dan terus 'survive' kerana sokongan bumiputera dalam proses
demokrasi PRU-13 ini.
Pimpinan utama UMNO sebenarnya tidak perlu lagi membuang masa, wang
dan tenaga untuk memujuk pengundi Cina. Tranformasikanlah semula parti
UMNO supaya kelihatan lebih cerdik, profesional dan dihormati oleh
bumiputera khususnya kelas menengah bumiputera yang sebenarnya adalah
merupakan opinion leaders atau pemimpin pemikir yang sangat
terbuka, moderate, kritis dan tidak bersedia menerima kepandiran politik
dalaman UMNO khususnya dalam pemilihan calon-calon PRU yang
sebilangannya mampu menang hanya kerana ikatan emosi yang masih tersisa
dengan UMNO-BN.
Pada masa sama, inisiatif perlu digerakkan untuk suatu permuafakatan
di antara UMNO, parti-parti bumiputera di Sabah dan Sarawak bersama-sama
pemimpin Pas dan pemimpin Melayu PKR supaya sentiasa ada pendirian
bersama dalam isu-isu berkaitan kedudukan agama Islam, hak-hak
keistimewaan bumiputera serta juga kedudukan Raja-Raja Melayu.
Gerakan penyatuan ini perlu dimulakan dengan kesemua pihak
menghentikan terlalu banyak keterlanjuran dan tindakan melampaui batas
dalam peperangan politik sesama kita yang terlalu menghilangkan rasa
hormat dan sangat mengguris itu.
Sesungguhnya peperangan politik sesama Melayu Islam terkini begitu
mengharu-birukan kita kerana ia telah menular kepada kalangan intelek,
golongan agamawan, komuniti perniagaan, pemimpin NGO dan lain-lain lagi.
Suasana ini sangat kronik sehingga di sebalik perseteruan sesama insan
politik, insan intelek, agamawan, ahli perniagaan dan insan sukarelawan
NGO ikut terbabit dan berperang politik sehingga naik 'hangit' kita
dibuatnya.
Agenda bumiputera juga telah lama terabai kerana masing-masing
pemimpin politik Melayu tenggelam dalam keasyikan jualan murah dengan
masing-masing menawarkan diskaun atau potongan harga hak keistimewaan
bumiputera demi memikat pengundi bukan Melayu khususnya pengundi Cina
itu. Cukuplah dengan drama laporan-laporan polis yang bertali arus dan
tidak habis-habis itu.
Keputusan PRU-13 sesungguhnya tidak wajar dikesali atau ditangisi. Ia
hanya suatu fasa dalam perjuangan. Kemenangan terbesar dalam PRU-13 ini
adalah kejayaan Melayu UMNO, bumiputera Sabah dan Sarawak serta BN
mempertahankan kuasa dan menerima pengajaran politik baru.
Sambil kerajaan BN meneruskan dasar-dasar yang pragmatik dan
berpandangan jauh, kerajaan BN wajib kembali ke dasar, pulang ke akar
umbi, menoleh ke kampung dan desa, menjenguk semula ke sektor pertanian
di mana majoriti Melayu dan bumiputera terhimpun dan setia
mempertahankan UMNO-BN.
Jika kerajaan boleh berbelanja sebesar lebih RM 30 billion untuk
pengundi bandar yang tidak menyokong kita dalam projek MRT di Lembah
Klang, alangkah besarnya perubahan jika dana sebesar itu disediakan
untuk pembangunan sektor ekonomi luar bandar yang setia itu. Cukup,
cukup sudah!
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...