DAP ternyata semakin gelabah apabila kejayaan mereka mempengaruhi
masyarakat Cina untuk menolak Barisan Nasional (BN) mula menjadi
perdebatan, apatah lagi apabila ramai pihak membentangkan jasa-jasa BN
kepada masyarakat Cina.
Secara tiba-tiba, DAP bercakap soal mahu Datuk Seri Najib Tun Razak
supaya tidak bersikap perkauman, sebaliknya menjadi Perdana Menteri
kepada semua kaum, biar pun pada hari pemimpin DAP membuat gesaan itu,
Najib sudah menegaskan, tugas beliau seterusnya adalah untuk
mengharmonikan rakyat pelbagai kaum.
Sepatutnya, pemimpin-pemimpin DAP membuat gesaan tersebut terhadap
parti itu sendiri dan bukannya kepada pemimpin-pemimpin BN. Ia
memandangkan selama ini parti manakah yang dilihat mengajar masyarakat
Cina supaya tidak berterima kasih kepada sumbangan BN kepada mereka.
Kenapakah perlu dalam kempen-kempennya pemimpin-pemimpin DAP terus
memburuk-burukkan kerajaan BN kepada masyarakat Cina, kenapakah
menggunakan bahasa yang kesat termasuk ‘negara ini bukan bapak dia
punya’ untuk membangkitkan sentimen rakyat kepada pemimpin BN?
Dan kita juga ingin bertanya kenapakah DAP sepanjang kempennya
langsung tidak menyebut jasa-jasa BN kepada masyarakat Cina khususnya
keprihatinan Najib dalam memberi bantuan pelajaran kepada sekolah Cina
termasuk menaikkan taraf kolej-kolej Cina menjadi kolej universiti?
Seperti hujah Dekan Institut Pengajian Cina Universiti Tunku Abdul
Rahman (UTAR) Prof. Dr. Ho Khai Leong, Najib sejak memegang tampuk
pemerintahan telah melakukan yang terbaik untuk kesejahteraan semua kaum
di negara ini termasuk masyarakat Cina.
Kata beliau, segala usaha Perdana Menteri itu membawa kemakmuran
kepada semua rakyat sekali gus membuktikan tiada kaum yang ketinggalan
dalam pembangunan negara ke arah mencapai status negara maju pada 2020.
Tetapi fakta ini tidak disebut oleh DAP sebaliknya di dalam
kempen-kempen mereka, pemimpin-pemimpin DAP membangkitkan soal rasuah
seolah-olah Malaysia ini negara yang paling buruk amalan rasuahnya.
DAP juga membangkitkan sentimen dengan membuat poster-poster dan
sepanduk-sepanduk tertera perkataan yang membawa maksud, undi BN sama
dengan memberi undi kepada Perkasa.
Kalau DAP ikhlas dan jujur dalam mencari kuasa politik mereka sudah
pasti mengupas apa yang terkandung dalam manifesto pakatan pembangkang
bagi membolehkan rakyat membandingkannya dengan manifesto BN, bukannya
menggunakan pentas-pentas kempen untuk memburuk-burukkan kerajaan BN
seolah-olah Perdana Menteri menganaktirikan masyarakat Cina.
Selain itu, kalau DAP ikhlas mereka juga tidak terlibat dalam agenda
Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk
menjadi Perdana Menteri dengan cara terus membangkitkan isu kononnya
berlaku penyelewengan dalam proses pengundian dengan sekali lagi
menyeret rakyat dalam himpunan Suara Rakyat Suara Keramat.
Persoalannya, kenapa pembangkang meragui kemenangan BN dengan
majoriti tipis di 30 kerusi Parlimen yang didakwa berlaku penyelewengan
sedangkan BN juga boleh mempertikaikan perkara yang sama bagi
kerusi-kerusi yang pembangkang menang dengan jumlah majoriti undi yang
sama.
Tetapi BN tidak berbuat demikian, sebaliknya BN menerima kekalahan
dengan hati terbuka khususnya di Pulau Pinang yang menyaksikan
berlakunya penolakan secara hampir total masyarakat Cina kepada BN.
Oleh itu, tidak perlu DAP hendak berdolak-dalik lagi, kalau betul
mereka ikhlas ambil tindakan kepada pemimpin-pemimpinnya yang bertindak
biadab termasuk menunjukkan isyarat lucah kepada papan iklan gambar
Perdana Menteri.
Malah DAP khususnya Penasihat parti itu, Lim Kit Siang juga perlu
menjawab dakwaan mereka menggunakan taktik kotor memfitnah, Dr. Puad
Zarkashi sehingga beliau tewas di Parlimen Batu Pahat seperti mana
didedahkan oleh bekas Timbalan Menteri Pelajaran.
Justeru tidak perlulah DAP hendak bersandiwara dan menafikan bahawa
mereka tidak melakukan tindakan yang dilihat provokasi dalam memastikan
kemenangan parti itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Kalau betul DAP sebuah parti yang bertanggungjawab, buatlah kenyataan
terbuka supaya seluruh penyokong-penyokong mereka menerima kegagalan
untuk menumbangkan BN melalui kempen ‘ini kali lah’ dan ‘Ubah’ dengan
hati terbuka.
Selain itu, buat juga kenyataan bahawa mereka bersedia untuk
bersama-sama Perdana Menteri melaksanakan program mengharmonikan kembali
rakyat pelbagai kaum selepas apa yang berlaku dalam PRU-13.
Jika pemimpin-pemimpin DAP tidak mahu berbuat demikian maka sahlah
DAP adalah parti yang cukup bijak bersandiwara dan kita tidak hairan
jika masyarakat Cina terpedaya dengan sikap itu.
Sumber : Utusan Online
Mansuh sekolah cina jadi anak2 cina tidak didoktrin untuk membenci kaum lain dan punya sikap superior dari kecil.
ReplyDelete