Darahsatriadotcom

Followers

Sunday, 9 June 2013

Akta Derhaka Dikuatkuasakan?

Kerajaan wajar memberi penekanan serius untuk bertindak mengikut undang-undang terhadap mereka yang cuba mencadangkan agar institusi diraja di negara ini dibubarkan.

Pensyarah Undang-Undang dan Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Dr. Shamrahayu Abd. Aziz berkata, tindakan itu perlu dilakukan secara drastik dan tepat memandangkan kini semakin ramai yang berani menyuarakan agar institusi diraja dimansuhkan.

"Ini adalah salah satu perkara yang wajar diberi penekanan dalam usaha menambah baik undang-undang melibatkan penghinaan terhadap institusi diraja di negara ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas cadangan bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Noor Abdullah agar Akta Derhaka diwujudkan bagi membendung penularan gejala menghina institusi diraja yang semakin serius kebelakangan ini.

Malah Mohd. Noor turut mencadangkan agar hukuman minimum dikenakan kepada pesalah itu nanti mestilah ditetapkan tidak kurang daripada dua tahun penjara.

Menurut beliau, dengan adanya undang-undang khas yang memperuntukkan hukuman lebih tegas, sudah pasti rakyat akan lebih berhati-hati sebelum mengeluarkan kenyataan terhadap raja dan institusinya pada masa akan datang.

Shamrahayu berkata, cadangan tersebut adalah sesuatu yang baik dalam usaha menjaga kedaulatan institusi diraja yang harus dikekalkan dalam sistem berperlembagaan di negara ini.

"Bagaimanapun, untuk mewujudkan satu akta baharu khusus bagi menjaga kedudukan institusi diraja memerlukan pendekatan dan pemerhatian yang jelas dalam usaha kita mempertahankannya.

"Adalah lebih wajar sekiranya kerajaan menambah baik undang-undang Kanun Keseksaan melibatkan jenayah terhadap institusi diraja sedia ada kerana sudah pasti kita mahu melihat keberkesanan sesuatu undang-undang itu," katanya.

Dalam pada itu, penganalisis undang-undang, Prof. Salleh Buang berkata, undang-undang sedia ada sudah cukup jelas dan lengkap bagi mengambil tindakan terhadap pihak yang mengganggu gugat institusi diraja di negara ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, seharusnya undang-undang tersebut dilaksanakan dengan berkesan bagi menangani penularan gejala menghina institusi raja yang semakin berleluasa pada hari ini terutama dalam media baru.

Katanya, undang-undang sedia ada itu seharusnya digunakan secara tegas terhadap sesiapa juga yang bertindak menderhaka terhadap raja mengikut takrifan yang digariskan.

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...