Darahsatriadotcom

Followers

Wednesday 26 June 2013

Berubah Sebelum Diubah!

Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengajak semua 222 Ahli Dewan Rakyat supaya berubah untuk kebaikan ke arah demokrasi matang bagi memartabatkan Parlimen Malaysia ke tahap tinggi. 

Yang Dipertua Dewan Rakyat yang dipilih semula untuk Penggal Pertama Parlimen Ke-13 itu, berkata beliau sendiri bertekad untuk berubah dan berjanji menjalankan tugas dengan adil dan saksama, sekali gus mahu Ahli Parlimen turut sama melaksanakan tanggungjawab dengan dedikasi, beramanah dan berkesan. 

Beliau berkata, saranan untuk berubah itu kerana beberapa tahun kebelakangan ini, pelbagai seruan dilaungkan pemimpin dan rakyat akar umbi yang mempunyai pengertian tersendiri.


“Bagi mereka yang mempopularkan seruan seperti ubah, transformasi, reformasi, ini kalilah, kalau bukan kita siapa lagi dan kalau bukan sekarang bila lagi. Bagi saya, ia membawa mesej menyeru mengubah sikap untuk membuat kebaikan.

“Sehubungan itu, bertolak dari roh maksud tafsiran ini, saya menyeru Ahli Yang Berhormat sekalian untuk membudayakannya sewaktu bertugas di Dewan Rakyat.

“Ayuh, kita ubah, kita bereformasi, kita bertransformasi, kalau bukan kita siapa lagi, kalau bukan sekarang bila lagi? Ini kalilah,” katanya ketika menyampaikan amanat sulungnya selepas mengangkat sumpah sebagai Speaker Dewan Rakyat.

Perubahan dinyatakan Pandikar Amin juga dapat dilihat apabila beliau mengenakan jubah baru yang ditransformasi dengan reka bentuk canggih, lebih selesa berbanding dulu, selain hal berhubung pengendalian majlis mesyuarat yang gayanya akan berubah dari Parlimen Ke-12.

Pandikar Amin berkata, sudah tiba masanya untuk Ahli Dewan Rakyat menjulang dan memartabatkan Parlimen negara dengan menunjukkan sikap seperti disebut penulis buku, Parliamentary Practice, Erskine May.

“Buku edisi ke-23 pada muka surat 440 menyebut kesabaran dan kesederhanaan adalah ciri berbahas di Parlimen. Bahasa Parlimen adalah lebih menggamit apabila seseorang Ahli Parlimen sewaktu berbahas dapat mempengaruhi pendapat dan pendirian pihak lawan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, penggal kali ini turut menyaksikan perubahan tempat duduk Ahli Parlimen terutama sekali dari pembangkang yang diubah mengikut kekananan sebagai satu parti, berbeza semasa Parlimen lalu di tempat duduk mengikut blok parti masing-masing.

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...