Darahsatriadotcom

Followers

Wednesday 26 June 2013

Perginya Seorang Doktor Rakyat...

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dr. A Rahman Mokhtar,54, yang meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini pagi ini merupakan anak Pulau Perhentian yang pertama menjadi doktor.

Allahyarham menjadi kebanggaan penduduk pulau masyarakat nelayan itu apatah lagi beliau kembali bersama untuk mereka sebagai pegawai perubatan dan kemudiannya sebagai seorang wakil rakyat yang mengenepikan sentimen politik dalam urusan khidmatnya.

Dikenang sebagai anak nelayan dan seorang pemimpin yang perwatakan cukup sederhana,senang disapa dan didekati, mudah pula menyulam senyuman dalam bicara dan dianggap sebagai ahli politik yang lurus, disenangi rakan dan lawan.

Sebelum dipilih menjadi calon, Allahyarham membuka sebuah klinik di Kuala Besut yang menjadi pintu masuk dan pintu keluar bagi penduduk pulau itu ke tanah besar dalam urusan harian mereka.

Bagi kalangan penduduk setempat beliau dianggap sebagai doktor yang baik hati dan hanya mengenakan caj paling minimum kerana menyedari kepayahan hidup mereka. 

Khidmatnya menjadi bualan ramai dan beliau mulai disorot untuk memberi khidmat lebih besar dan dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Kuala Besut dalam Pilihan Raya Umum 2008.

Beliau menang dengan majoriti 2,631 dan seterusnya dilantik sebagai sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri dan melalui peranannya, kemudahan kesihatan dan kebajikan untuk anak negeri jauh mengatasi negeri-negeri lain, malah dicemburui.

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...