Darahsatriadotcom

Followers

Wednesday 3 July 2013

Ahli Parlimen Wanita Buat Tindakan Memalukan!

Seorang anggota Parlimen pembangkang dari Kelantan hari ini ditempelak kerana berterusan mendakwa negeri itu dianak tiri oleh kerajaan persekutuan, sedangkan peruntukan besar telah diberi untuk pembangunan negeri itu.

Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof juga membidas dakwaan Siti Zailah Mohd Yusoff (PAS-Rantau Panjang) bahawa Kelantan satu-satunya negeri yang tidak mempunyai jalinan lebuh raya dengan ibu negara.

"Inilah kiranya sikap tak bersyukur hingga kadang-kadang kita lupa. Kerajaan pusat, di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR) di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10) memperuntukkan RM942juta untuk Kelantan, tahun ini sahaja sejumlah RM87 juta diperuntukkan.


"Kalau kata tidak ada penghubung antara Kota Baharu (KB) dan ibu kota itu tidak tepat kerana KB telah dihubungkan...bayangkan di Sabah dan Sarawak yang merupakan negeri yang memberi sumbangan besar kepada pendapatan negara pun masih banyak yang belum dihubungkan," katanya ketika menjawab soalan Siti Zailah di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Fadillah berkata anggota Parlimen Kelantan itu sepatutnya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan pusat yang telah memberi peruntukan besar untuk pembangunan negeri itu.

"Perancangan untuk buat jalan ini bukan mudah, RM8 bilion untuk dibelanja bagi jalan ini sahaja...kalau jumlah itu diberi kepada Sabah dan Sarawak banyak kawasan yang belum dihubungi boleh dibangunkan.

"Tetapi kerajaan Barisan Nasional (BN) ini adil, maka kita masih beri juga walaupun Kelantan memberi sumbangan kecil terhadap pendapatan negara, tetapi kerana sedar rakyat harus diutamakan dan janji mesti ditepati, kita laksanakan projek ini," katanya.

Menjawab soalan asal Siti Zailah, Fadillah berkata Jalan Kota Baharu ke Kuala Krai, Kelantan merupakan sebahagian daripada jajaran Lebuh Raya Utama Tengah, dari Simpang Pelangai di Pahang ke Kota Baharu di Kelantan, sepanjang 463.5 kilometer.

Beliau berkata berdasarkan Pelan Induk Pembangunan Rangkaian Jalan Raya Semenanjung Malaysia (HNDP) Fasa 1, Jalan Utama Tengah ini telah dikenal pasti dan termasuk dalam perancangan kerajaan untuk dinaik taraf mulai tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9).

Skop projek itu melibatkan cadangan membina jalan baru dan menaik taraf jalan sedia ada dari laluan dua lorong dua hala kepada laluan empat lorong dua hala dengan reka bentuk piawaian JKR, R5.

Anggaran kos keseluruhan projek itu ialah RM8 bilion dan akan dilaksanakan secara berperingkat dalam setiap rancangan lima tahun, bermula RMK10.

Siti Zailah bertanya tentang pembinaan lebuh raya yang menghubungkan Kuala Krai ke Kota Baharu sebagaimana yang termaktub dalam tujuh janji BN untuk rakyat Kelantan dan bila janji-janji itu akan ditepati.

Menjelas lanjut Fadillah berkata, kerajaan telah meluluskan pelaksanaan projek membina dan menaik taraf Jalan Utama Tengah mulai 2010 melibatkan sebahagian daripada jajaran Simpang Pelangai-Kuala Krai yang dibahagikan kepada enam pakej.

"Setakat ini kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM440 juta bagi tujuan melaksanakan keseluruhan kerja-kerja reka bentuk, kos pengambilan tanah dan pelaksanaan fizikal untuk sebahagian segmen dalam pakej 3 (Gua Musang-Kg Relong) dan sebahagian daripada Pakej 5 (Raub-Bentong), manakaka pakej-pakej lain akan dimulakan dalam RMK11.

Fadillah berkata kerajaan pusat juga tidak pernah mengabaikan cadangan untuk menaiktaraf jalan utama tengah melibatkan laluan antara Kota Baharu-Kuala Krai di Kelantan dan telah melantik juru perunding untuk melaksanakan kajian reka bentuk untuk jajaran berkenaan.

Menjawab soalan tambahan daripada Tan Sri Annuar Musa (BN-Ketereh) mengenai kerjasama kerajaan negeri dan pusat berhubung pembinaan lebuh raya itu, Fadillah berkata, JKR telah menghubungi pihak kerajaan negeri untuk mendapatkan maklumat berhubung jajaran jalan raya yang dicadangkan, namun setakat ini masih belum mendapat sebarang maklumat mengenai pelaksanaannya daripada kerajaan negeri Kelantan.
  

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...