Pas meminta Pengerusi DAP, Karpal Singh tidak
memberi kata dua terhadap rakan parti dalam pakatan pembangkang, Pas dan
Parti Keadilan Rakyat (PKR) supaya menyokong hasratnya untuk meminda
Perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan berhubung status agama
kanak-kanak di bawah usia 18 tahun.
Penolong Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan menyifatkan
tindakan Karpal memberi kata dua itu adalah bertentangan dengan konsep
perkongsian di antara ketiga-tiga parti itu dalam pakatan pembangkang.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, sebagai peguam
'senior', Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu sewajarnya menghormati
peruntukan perlembagaan yang telah lama dipertahankan.
"Sebagai satu pakatan tidak patut Karpal memberikan kata dua kepada
rakan-rakannya. Sebagai salah satu rakan kongsi cara ini tidak betul.
"Kedua, Karpal seorang peguam kanan yang selalu mempertahankan
perlembagaan. Tiba-tiba dia sendiri bangkitkan cadangan supaya
peruntukan perlembagaan yang telah lama wujud dipinda, ini menunjukkan
dia tidak menghormati perlembagaan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai desakan Karpal
supaya Ahli Parlimen Pas dan PKR menyokong cadangannya untuk meminda
Perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan berhubung status agama
kanak-kanak di bawah usia 18 tahun.
Karpal masih tidak berpuas hati terhadap kerajaan berhubung isu
tersebut biarpun pembentangan Rang Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam
(Wilayah Persekutuan) 2013 telah ditarik balik sambil menyifatkannya
tidak memadai.
Rang Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah Persekutuan) 2013
adalah untuk mengelakkan 'salah tafsir' berhubung kebenaran menukar
agama kanak-kanak berumur di bawah 18 tahun.
Takiyuddin berkata, perkara tersebut bukan perkara baru malah undang-undang yang sama telah diluluskan pada tahun 1993.
"Seksyen 95 dalam Akta Pentabdiran Agama Wilayah Persekutuan 1993
menyatakan dengan jelas orang bukan Islam yang berusia 18 tahun ke atas
tidak perlu keizinan untuk masuk Islam, kalau kurang daripada 18 tahun
boleh masuk Islam dengan keizinan bapa atau ibu atau penjaga, ia sama
dengan rang undang-undang yang mahu dibentangkan itu.
"Perkara ini sudah lama dan telah ditafsirkan oleh mahkamah dalam
beberapa kes sebelum ini, jadi kenapa sekarang baru hendak bising, saya
minta Karpal terima undang-undang yang telah diluluskan oleh Parlimen
ini," katanya yang juga seorang pengamal undang-undang.
Tambahnya, Karpal sewajarnya membincangkan perkara itu dalam pakatan
pembangkang terlebih dahulu sebelum mahu membawanya ke Parlimen.
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...