Kementerian Dalam Negeri memperoleh bukti kukuh
bahawa penyebaran ajaran Syiah di Malaysia bukan sahaja berbahaya kepada
akidah umat Islam malah boleh mengancam keselamatan negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata,
hasil siasatan dan pemantauan terhadap gerakan itu mendapati terdapat
asas akan berlaku ancaman keselamatan sekiranya ajaran tersebut tidak
dibendung.
"Ancaman keselamatan ini lebih daripada yang kita tahu menerusi
media, biar saya kata ajaran ini harus disekat dari awal bimbang berlaku
seperti di beberapa negara di Asia Barat dan Asia Selatan hingga
tercetusnya perpecahan.
"Malah, darah selain daripada mazhab mereka adalah halal dan mereka
boleh lakukan apa sahaja terhadap penganut agama lain yang tidak ikut
mazhab mereka," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan
Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Miles Kupa di pejabatnya di
sini hari ini.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan gerakan Syiah di Malaysia semakin
agresif mempromosikan ajaran tersebut apabila cuba membina sebuah
kompleks di Gombak, Selangor pada awalnya, namun gagal dan memilih
lokasi baru iaitu wilayah di sempadan negara jiran, Thailand untuk
membina sebuah markas baru dengan dana sebesar RM24 juta.
Menurut Ahmad Zahid, setakat ini pihaknya masih belum menerima bukti kukuh berkaitan pembinaan kompleks tersebut.
Bagaimanapun, tegas beliau, pihaknya akan membendung ajaran itu daripada merebak kerana boleh mengancam keselamatan negara.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid menegaskan, tindakan yang diambil
pihaknya itu bukan bertujuan membelakangi hak istimewa setiap negeri dan
Yang di-Pertuan Agong sebaliknya, mahu memastikan soal keselamatan
negara tidak tergugat.
"Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam kita telah membentangkan
permasalahan Syiah di Malaysia kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN)
dua minggu lalu dan hasil siasatan ini akan dibentangkan kepada Majlis
Raja-raja.
"Kita akan cadangkan hasil siasatan ini kepada Majlis Raja-raja untuk
memperakukan penyebaran ajaran Syiah bukan sahaja berbahaya dari aspek
akidah tapi juga keselamatan," katanya.
Sementara itu, diminta mengulas penyebaran sebuah video klip di laman
sosial yang menghina Islam apabila menonjolkan seorang individu
membasuh tangannya dan kaki anjing seolah-olah melakonkan cara orang
Islam mengambil wuduk, Ahmad Zahid berkata, pihaknya menyerahkan kepada
Suruhanjaya Komunikasi Malaysia (SKMM) untuk menyiasat isu tersebut
kerana di bawah kuasa mereka.
"SKMM harus siasat dan cari punca dari akar umbi, tugas kami ialah
lakukan penangkapan setelah ada bukti kukuh dan polis tidak akan
bertoleransi terhadap pihak mempersendakan Islam," katanya.
Video yang hampir dua minit itu dengan tajuk 'Satu hari di hari raya'
dimuat naik dalam YouTube turut menonjolkan individu tersebut meraikan
sambutan hari raya bersama beberapa ekor anjing dengan diiringi muzik
latar takbir raya dan lagu Satu Hari Di Hari Raya.
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...