Darahsatriadotcom

Followers

Thursday 1 August 2013

Bekas Tahanan EO Dalang Tembak Menembak!

Siasatan awal polis mendapati 90 peratus daripada kejadian tembak yang berlaku kebelakangan ini dilakukan oleh bekas tahanan Ordinan Darurat (EO).

Bekas tahanan terbabit dipercayai kembali aktif dalam jenayah dan bertindak terhadap mangsa baru, seteru serta membalas dendam terhadap saksi yang mengakibatkan mereka ditahan di Pusat Tahanan Simpang Renggam, Johor, sebelum ini.


Sehubungan itu, jawatankuasa kecil Kabinet yang diketuai Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mencadangkan supaya Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) diperkukuhkan dengan melihat aspek membanteras jenayah berat sebagai satu elemen penting.


Ahmad Zahid berkata, jawatankuasa itu juga akan mengemukakan cadangan kepada Kabinet mengenai langkah yang perlu dilakukan bagi mengatasi kekangan dihadapi Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menangani isu berkenaan selepas pemansuhan Ordinan Darurat 1969 dan undang-undang tempat tahanan terhad.

“Mereka (bekas banduan EO) yang dilepaskan dari pusat tahanan di Simpang Renggam, kebanyakannya berada di kalangan masyarakat sekarang dan daripada rekod yang diperoleh menunjukkan 90 peratus jenayah berat yang berlaku sekarang dilakukan bekas banduan ini,” katanya selepas majlis perasmian Masjid Al-Quro’ oleh Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah di sini, malam kelmarin.

Zahid berkata, jawatankuasa itu turut dianggotai tiga Menteri di Jabatan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Idris Jala, Nancy Shukri dan Senator Datuk Paul Low Seng Kuan, menumpukan usaha pembanterasan jenayah indeks daripada aspek perundangan, atas arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. 


Katanya, beberapa langkah lain juga akan dicadangkan membabitkan aspek perundangan dalam bentuk tetap mengekalkan tidak ada lagi tahanan tanpa bicara sebaliknya memberikan lebih banyak kuasa kepada polis untuk melakukan siasatan.

Beliau berkata, PDRM akan memohon kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk penambahan jawatan pegawai penyiasat polis untuk memperkukuh Jabatan Siasatan Jenayah.

“PDRM akan mengambil langkah drastik termasuk memiliki peralatan moden dan canggih bagi pemantauan kes jenayah terutama di kawasan panas sesuai dengan pemodenan hal ehwal kepolisian, selain menubuhkan skuad khas yang akan melakukan tindakan pembanterasan jenayah berat dan jenayah tertentu berpangkalan di Bukit Aman,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...