Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM)
mencadangkan kerajaan memansuhkan cukai jalan dan mengurangkan kadar
insurans bagi kenderaan berkapasiti kurang daripada 2,000cc.
Presidennya, Datuk Hashim Othman berkata, kerajaan
harus peka terhadap keperluan golongan berpendapatan rendah dan
sederhana supaya golongan berkenaan dapat mengharungi cabaran semasa
ekonomi negara.
"Saya berharap daripada penjimatan yang diperoleh daripada
pengurangan subsidi bahan api dapat digunakan untuk memansuhkan cukai
jalan kenderaan dan pengurangan kadar insurans," katanya di sini.
Beliau berkata, pakar ekonomi negara pasti sudah lama memikirkan
alternatif dalam mengurangkan beban rakyat, dan langkah ini perlu
dilaksanakan supaya rakyat tidak rasa terbeban dan teraniaya.
Selasa lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul
Wahid Omar berkata, pengurangan subsidi bahan api akan menjimatkan wang
kerajaan sebanyak RM3.3 bilion yang boleh digunakan untuk disalurkan
kepada Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan juga projek infrastruktur.
Merujuk kepada cadangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri,
Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk memperkenalkan semula petrol
RON92 di pasaran, Hashim berkata, beliau tidak pasti sama ada masih
terdapat kenderaan-kenderaan yang menggunakan minyak jenis tersebut.
"Kereta-kereta sekarang ini sudah tidak boleh menggunakan RON92
memandangkan sudah ramai yang menggunakan kereta-kereta baharu yang
tidak sesuai menggunakan minyak tersebut (RON92)," katanya.
Hashim juga berkata jika RON92 diperkenalkan semula, pengusaha stesen
minyak juga terpaksa mengeluarkan kos tambahan untuk menambah tangki
minyak dan pam untuk RON92.
"Kesan penggunaan minyak RON92 juga tidak baik untuk alam sekitar," katanya.
Sebelum ini, Menteri KPDNKK, Datuk Hasan Malek berkata, kerajaan
sedang mengkaji kemungkinan memperkenal semula petrol RON92 bagi
menawarkan alternatif sumber bahan api yang jauh lebih murah kepada para
pengguna.
Sementara itu, Setiausaha Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia,
Datuk Nadzim Johan berkata, kerajaan juga perlu mengenakan tindakan
tegas yang boleh memberi kesan 'gentar' kepada peniaga yang menaikkan
harga barang melampau berikutan kenaikan harga minyak.
Katanya, ini bagi memastikan apabila harga minyak naik, ia tidak akan
menjadi kebiasaan bagi peniaga-peniaga untuk turut menaikkan harga
barang.
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...