Darahsatriadotcom

Followers

Friday 6 September 2013

Sana Sini Minyak... Jangan Ada Yang Naik Minyak!

Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, Barisan Nasional (BN) sentiasa berusaha menjadi kerajaan yang bertanggungjawab dan bukan popular semata-mata apabila mengurangkan subsidi minyak.

Timbalan Perdana Menteri berkata, tindakan itu yang menyebabkan harga petrol RON 95 dan diesel naik sebanyak 20 sen bukan bertujuan membebankan rakyat, sebaliknya mahu memperkukuhkan ekonomi negara.

Beliau berkata, kerajaan pada masa ini menanggung sebanyak RM24 bilion subsidi setahun untuk bahan bakar dan keputusan mengurangkan kadar subsidi itu dapat menjimatkan sehingga RM3.3 bilion setahun.

"Ini bukan soal popular tetapi sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kerajaan nak buat kerja yang betul dan tepat. Kerajaan tidak kisah apabila tindakan menaikkan harga minyak ini akan menjadikan tidak popular kerana apa yang lebih penting kerajaan mengambil tanggungjawab demi memastikan ekonomi negara dan kebajikan rakyat terjamin.

"Selama ini, pemberian subsidi bahan bakar tidak begitu mengenai golongan sasar apabila orang kaya dan warga asing turut merasai nikmatnya. Justeru, dengan pengurangan subsidi tersebut wang yang dijimatkan dapat disalurkan kepada golongan sasar termasuk menerusi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M)," katanya.

Pada Isnin lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kenaikan harga petrol RON 95 dan diesel sebanyak 20 sen.

Dengan kenaikan itu, harga baharu bagi petrol RON 95 ialah RM2.10 seliter berbanding RM1.90 sebelum ini manakala diesel meningkat kepada RM2 seliter dari RM1.80 dan keputusan itu merupakan sebahagian daripada proses rasionalisasi subsidi.

Muhyiddin berkata, sekiranya ingin menjadi terus popular, kerajaan BN boleh memberikan semua subsidi untuk menggembirakan rakyat tetapi sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kepimpinan negara harus mengambil tindakan yang tepat.

"Jangan kata kerajaan tak bagi subsidi, tak bantu. Kalau tak bantu, kita ambil subsidi semua sekali dan kalau nak popular kita bagi semua subsidi dan akhirnya apa jadi kepada negara kita?

"Penjimatan sebanyak RM3.3 bilion yang kita peroleh itu boleh disalurkan dalam bentuk peruntukan lain untuk pembangunan negara kita," katanya sambil memberitahu keputusan kerajaan menaikkan harga minyak untuk memastikan ekonomi negara kukuh dan Malaysia terus berdaya saing dan maju. 

Timbalan Perdana Menteri berkata, keputusan kerajaan itu juga telah mendapat maklum balas positif daripada pelbagai pihak termasuk pakar ekonomi dari dalam dan luar negara.

Beliau berkata, usaha tersebut bukan sahaja mengukuhkan lagi kedudukan ekonomi negara, malah turut dapat meningkatkan keyakinan para pelabur asing.

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...