Terdapat pengajaran penting yang
boleh dipelajari di sebalik pencerobohan kumpulan pengganas bersenjata Kiram di
Pantai Timur Sabah yang menyebabkan konflik bersenjata antara pasukan
keselamatan negara dan kumpulan pengganas dari Filipina itu.
Penjelasan tegas Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib adalah sangat tepat di mana beliau menganggap bahawa kejadian
tersebut adalah sebagai wake up call kepada semua betapa negara Malaysia
terdedah kepada ancaman luar dan mengapa penting untuk kerajaan dan rakyat
supaya tidak mengabaikan soal keselamatan. Selama ini kita telah diberkati
dengan keamanan dan kestabilan dan pencerobohan oleh pengganas bersenjata dari
negara asing ini amat mengejutkan semua pihak.
Persoalannya mengapa ia berlaku
ketika ini dan adalah agak janggal kerana tuntutan yang tidak berasas ke atas
Sabah dilakukan oleh pengganas yang bersenjata. Ia adalah satu wake up call
untuk kita dan merupakan peringatan kepada semua bahawa kesejahteraan dan
keselamatan negara tidak boleh dipandang ringan walaupun pada waktu aman.
Langkah-langkah kini sedang diambil
untuk meningkatkan keselamatan di Pantai Timur Sabah demi meningkatkan
keupayaan tentera kita dari segi peralatan, latihan, kemahiran dan kecerdasan.
Langkah-langkah juga diambil untuk
menubuhkan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) untuk menangani ancaman
keselamatan masa depan. Enam balai polis baharu juga akan dibina di sana.
Seperti kata pepatah "it is
better late than never" adalah menjadi harapan kita bahawa
langkah-langkah ini akan memastikan Sabah selamat dan utuh sekarang dan pada
masa hadapan.
Apa yang saya ingin lihat daripada episod
berdarah di Lahad Datu ini bukan sahaja dari aspek keselamatan malah yang lebih
penting adalah semangat patriotik yang perlu diperkukuhkan. Dalam krisis
sebegini, ia akan menguji tahap semangat patriotisme rakyat Malaysia yang
sebenar.
Di sebalik menyokong pasukan
keselamatan kita, terdapat beberapa golongan yang memilih untuk memperlekeh dan
membuat kenyataan yang tidak bertanggungjawab tentang perwira kita yang
mempertaruhkan nyawa mereka untuk mempertahankan dan melindungi kehormatan,
kedaulatan dan integriti wilayah Malaysia.
Saya ingin mencadangkan supaya
dokumentari dari Bernama tentang pencerobohan Sabah oleh pengganas Kiram
bukan sahaja disiarkan di televisyen malah didedahkan kepada semua sekolah
supaya generasi muda faham tentang pencerobohan ini.
Selain itu, ia juga akan membantu
untuk membina semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda serta
menyedarkan mereka betapa pentingnya keamanan, keharmonian dan perpaduan di
negara kita yang tercinta.
Sumber : © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...