Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, sebaliknya masyarakat Cina perlu menentang kenyataan pemimpin pembangkang ini yang kadangkala bersifat "mengapi-apikan" hubungan antara kaum.
"Orang Melayu dan orang Cina mesti menjadi sahabat selalu kerana kita tidak ada masa depan untuk bergaduh semasa kita. Jangan biarkan DAP mengapi-apikan kita.
"Kita sudah tahu apa yang berlaku pada 13 Mei 1969 dan perkara itu tidak boleh berlaku lagi. Kita seperti di Jelebu ini mesti sentiasa memandang ke hadapan," katanya semasa berucap pada majlis perasmian serentak Pusat Internet 1Malaysia dan Program Kenali Jiran Kita di Medan Selera Petaling di sini hari ini.
Turut hadir pada majlis itu, dua exco kerajaan negeri iaitu Datuk Siow Chen Pin dan Datuk Yunus Rahmat serta Ketua Pegawai Perancangan dan Pembangunan Industri Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Datuk Mohd. Ali Hanafiah.
Rais turut meminta masyarakat Cina di kawasan ini agar tidak terpengaruh dengan cakap kosong pembangkang yang menjanjikan pelbagai faedah kepada rakyat untuk memenangi pilihan raya, namun hakikatnya mereka mempunyai agenda lain.
Katanya, berbeza dengan kerajaan Barisan Nasional yang terbukti berjaya membawa pelbagai kemajuan dan pembangunan dalam hidup rakyat sejak negara mencapai kemerdekaan lebih 55 tahun dahulu.
"Saya sebagai wakil rakyat di sini akan terus berkerja keras untuk memastikan masyarakat di sini tidak menjadi masyarakat yang 'keras' karakternya," katanya.
Sementara itu, Mohd. Ali ketika ditemui selepas majlis itu berkata, sebanyak 320 pusat Internet dibina di kawasan luar bandar di seluruh negara, sejak mula diperkenalkan pada 2010.
"Bagi tahun ini dan tahun hadapan pula, sebanyak 100 pusat sama akan disediakan yang akan ditumpukan di kawasan terpilih terutama kawasan Projek Perumahan Rakyat bagi menyediakan kemudahan internet kepada orang ramai," katanya.
Sumber : BERNAMA
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...