Darahsatriadotcom

Followers

Saturday, 6 April 2013

Terbongkar : Wajah Sebenar Pembangkang...

Naib Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Zulkifli Noordin mendedahkan beliau pernah terlibat dalam rancangan untuk 'membakar' Stadium Nasional Bukit Jalil semasa Sukan Komanwel 1998 kerana terpedaya dengan reformasi Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, rancangan itu bertujuan mencetuskan huru-hara semasa majlis perasmian Sukan Komanwel oleh Ratu Elizabeth berikutan pemecatan Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Jelasnya, rancangan untuk mencetuskan kekecohan di ibu negara itu terbahagi kepada tiga kumpulan dengan sasarannya adalah Stadium Nasional Bukit Jalil, kediaman Perdana Menteri di Seri Perdana dan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

"Saya sepatutnya mengetuai 'delegasi' di Stadium Nasional Bukit Jalil, malah di tandas LRT Bukit Jalil pun sudah disorok bom minyak tanah dan kain rentang untuk dibakar.

"Bagaimanapun, rancangan itu gagal kerana kecekapan Unit Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia dan saya pun dicekup di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Yang turut hadir, Mursyidul Am Kelab Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI), Muhammad Zahid Md. Arip dan Presiden Jaringan Cina Malaysia, Ng Lum Yong.

Menurut Zulkifli, beliau percaya pelbagai kekecohan serta huru-hara akan ditimbulkan penyokong pembangkang dalam proses Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) kerana Anwar begitu terdesak dan kemaruk untuk menjadi Perdana Menteri.

Jelasnya, antara perkara yang akan berlaku adalah kekecohan mengenai kononnya berlaku penipuan dalam penggunaan dakwat cap jari di pusat pengundian sehingga menghasut penyokong pembangkang merusuh.

Katanya, penyokong pembangkang juga akan mengadakan perhimpunan di beberapa bandar raya selain mengepung bangunan-bangunan kerajaan serta stesen-stesen televisyen dengan anggapan pakatan pembangkang akan memenangi PRU-13.

"Mereka akan memainkan emosi dan sentimen tidak puas hati penyokong mereka, malah pemimpin mereka juga akan memakai baju melayu dan bersidai di istana-istana raja kononnya akan mendapat mandat," katanya.

Dalam pada itu, Zulkifli menegaskan, penyebaran rakaman video yang memaparkan beliau memberi komen negatif terhadap penganut agama Hindu itu dilakukan oleh penyokong pembangkang yang sarat dengan sifat cauvinis, ekstremis, jumud dan pelampau.

"Video yang disunting itu merupakan rakaman lama ceramah saya di sebuah markas Pas semasa saya menjadi pemimpin Pas untuk Bandar Tun Razak dan Wilayah Persekutuan, ia tiada kaitan dengan Perkasa," katanya.

Jelasnya, politik kebencian dalam pakatan pembangkang amat ketara sebagaimana ditunjukkan tindakan kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor yang merobohkan beberapa kuil Hindu serta kenyataan Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub yang menghina perayaan Thaipusam.

"Kepada semua masyarakat Hindu, saya menyusun 10 jari meminta maaf, marilah kita pandang ke hadapan dan membina negara Malaysia yang harmoni di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak dan Gagasan 1Malaysia," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya pemberita mengenai desas-desus beliau akan bertanding di Parlimen Shah Alam, Zulkifli berkata, ada pihak telah menawarkan platform untuk bertanding namun beliau akan pertimbangkan sepenuhnya.


Sumber : © Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...