Tidak payahlah menyesal sekarang sebab dari dahulu lagi sudah
diberitahu, jangan percaya dengan pakatan pembangkang sebab masing-masing mahu
mengejar kepentingan diri daripada kejayaan parti itu.
Orang Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) mahupun DAP perlu sedar, kamera
tertutup sentiasa ada di mana-mana dan boleh dipasang oleh sesiapa, apatah lagi
dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) ini.
Janganlah cakap soal sabar apabila kena tikam dari belakang ini kerana
pasti orang yang kena itu akan merasa geram, kecewa dan terfikir, lepas ini apa
pula yang hendak dibuat oleh orang yang tidak berpuas hati itu.
Dalam PRU-13 ini, ramai yang kena tikam dari belakang. Di Negeri
Sembilan contohnya di DUN Labu, PKR yang mahukan kerusi itu ditikam dari
belakang oleh Pas dan akhirnya, perkara itu dibawa kepada sidang akhbar.
Moralnya, orang yang kadang kala begitu rapat dengan kita, apatah lagi
dalam parti pembangkang dan mungkin ada dalam kalangan mereka yang ilmunya
tinggi, berbudi bahasa dan berjasa, pun tergamak melakukanya, apatah lagi
rakyat biasa.
Jika itulah yang berlaku ketika ini, orang yang kena tikam dari belakang
ini sebenarnya sedang memberi kemenangan total kepada orang yang mengkhianati
kita, sekiranya tidak dilawan secara profesional.
Dia akan berjaya memporak-perandakan kehidupan kita, kerjaya mahupun
parti yang kita wakili. Jangan biarkan orang sebegini menang dalam PRU-13 ini.
Jauhkan diri dan berhati-hati dengan 'gunting dalam lipatan' ini.
Soalnya, orang yang tidak mengenang budi dan mengejar kepentingan diri
untuk mendapat nama dalam PRU-13 ini akan sanggup melakukan apa sahaja untuk
mengkhianati kawan dan tidak sepatutnya, sebagai rakyat kita berdiam diri dalam
perkara ini.
Keadaan yang berkecamuk dalam pembangkang ini berlaku di seluruh negara
dan akibatnya ada beberapa kerusi yang dipertandingkan, wujud saingan sesama
mereka.
Maka, rakyat yang pada ketika ini bukan dalam kalangan ahli parti sedang
memerhatikan calon dan parti untuk dipilih pada PRU-13.
Setakat ini, BN masih mendahului dalam semua aspek malah keutamaan
disaksikan dalam pembahagian kerusi secara jujur, ikhlas, profesional dan
semangat setiakawan yang tinggi.
Oleh itu, janganlah trauma dengan pengkhianatan masa silam dan usah pula
bimbang jika ada pengkhianatan masa hadapan kerana kita mesti yakin terhadap
reputasi BN adalah lebih baik berbanding ramai sudah kena tikam dari belakang
dalam kalangan pembangkang.
Biarlah anjing menyalak bukit. Bukit tidak akan runtuh. Begitulah orang
yang menikam kita dari belakang, kerana pada hakikatnya orang itu sebenarnya
lemah, penakut dan tidak punya keyakinan diri untuk bertarung secara berdepan.
Percayalah, tidak ada orang yang mahu menendang anjing yang telah mati.
Maka begitulah kita, selagi ada tenaga, upaya dan keinginan yang membuak-buak,
maka akan sentiasa adalah musuh dalam selimut yang mengganggu gugat
ketenteraman.
Jadi dalam istilah politik, orang yang kena tikam dari belakang itu
sebenarnya individu yang kuat kerana orang pengecut tidak akan berani
berhadapan kerana dia akan terjerumus dalam lubang yang digalinya sendiri.
Tunggulah perkara itu akan berlaku tidak lama lagi!
Sumber : © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...