Sememangnya
sementara menanti keputusan muktamad dan pengumuman secara rasmi dilakukan oleh
pucuk pimpinan parti debaran semakin kencang. Ada sesetengahnya tidur tak lena
kerana memikirkan akan terpilih atau tidak.
Selalunya
sindrom ini `menjangkiti' pemimpin-pemimpin yang mempunyai jawatan di peringkat
bahagian khususnya dalam UMNO. Ada antara mereka masih mahu melawan arus
menyatakan dialah calon boleh menang biar pun kalau diikutkan, umum namapun
sudah kalah.
Malahan
sudah ada ketua-ketua bahagian yang bertanding dalam pilihan raya umum lalu
tetapi kalah menaruh harapan untuk dipilih sekali lagi dengan alasan, dulu
mereka kalah kerana tsunami politik. Kata mereka, masa tu ramai yang kalah.
Ada pula
ketua bahagian yang selama ini tidak pernah ada di kawasan secara tiba-tiba
muncul melaksanakan pelbagai program dengan harapan terpilih sebagai calon.
Semua ini
adalah drama-drama sebabak yang ditonjolkan oleh pemimpin-pemimpin berkenaan
termasuklah ada antara mereka yang sudah berpuluh-puluh tahun menjadi wakil
rakyat masih mahu menongkat langit dengan alasan dia calon boleh menang
sedangkan maklumat yang diterima, hendak dapat 50 peratus sokongan rakyat di
kawasannya pun susah.
Apa pun
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sudah menegaskan pemilihan calon BN
turut bergantung kepada penerimaan rakyat, kemampuan dan rekod pencapaian calon
selain mengambil kira pertimbangan yang adil antara parti komponen BN.
Selain itu
Najib menggariskan bahawa kriteria calon boleh menang BN ialah peribadi,
kebolehan, ketokohan dan pengalaman individu menjadi asas dalam pemilihan.
Justeru
tidak perlulah mana-mana pemimpin-pemimpin sama ada di peringkat pusat atau
bahagian mendabik dada kononnya mereka berada dalam kategori calon boleh
menang. Ini memandangkan sama ada boleh menang atau tidak bukan mereka yang
tentukan tetapi rakyat.
Oleh itu,
dalam soal ini adalah penting jika pemilihan calon kali ini dilakukan secara
berhati-hati dengan mengambil kira pandangan rakyat dan laporan agensi-agensi
yang dipertanggungjawabkan.
Ia
memandangkan jika BN tersilap langkah dalam membuat perhitungan semata-mata
untuk menjaga hati mana-mana pemimpin maka yang akan menanggung akibat adalah
parti.
Dalam
berhadapan pilihan raya umum yang cukup getir ini, BN dan UMNO perlu memastikan
calon yang dipilih diterima oleh rakyat dan bukannya pemimpin yang mengamalkan
sikap `syok sendiri' kononnya dia masih boleh menang.
Malahan
jangan ada pandangan kononnya kalau seseorang pemimpin itu tidak terpilih ia
boleh membawa bencana kepada peluang BN. Bagi pemimpin seumpama ini, kalau
betul rakyat mahukan dia tetapi tidak dipilih oleh parti mungkin ia bencana
untuk parti tetapi kalau dia memang tidak dikehendaki oleh rakyat tetapi
dipilih oleh parti maka itu adalah bencana yang sengaja diundang.
Justeru
kepada pemimpin-pemimpin yang berhasrat masih mahu menjadi calon atau berasa
layak menjadi calon sedangkan, dia sendiri memahami bagaimana penerimaan rakyat
di kawasannya maka belajar-belajarlah menilai diri dan bermuhasabah.
Pilihan Raya
Umum Ke-13 bukannya medan untuk survival politik mana-mana individu tidak kira
apa juga jawatannya di peringkat pusat, bahagian mahupun negeri. Kalau kajian
menunjukkan pencalonannya boleh mengundang kekalahan atau bencana kepada parti
maka terima sahaja dengan terbuka keputusan pucuk pimpinan.
Memanglah
semua orang merasakan dirinya layak, apatah lagi kalau dia memegang jawatan di
peringkat bahagian tetapi itu bukan jaminan pencalonannya boleh membawa
kemenangan kepada parti.
Apa yang
lebih utama seperti mana kata Najib, kepentingan parti harus mengatasi
kepentingan individu. Kalau benarlah mereka sayangkan parti dan mahu memastikan
kedudukan bangsa, agama dan negara tidak digugat oleh pakatan pembangkang maka
bersedialah untuk tidak dicalonkan.
Kita percaya
setiap keputusan dalam soal pemilihan calon ini akan dilakukan dengan penuh
hati-hati dan kebijaksanaan oleh pucuk pimpinan parti demi memastikan
kemenangan yang diidam-idamkan tercapai.
Kecewa dan
sedih tidak salah tetapi jangan sampai bertindak sebagai pengkhianat apabila
tidak terpilih sebagai calon kerana bak kata Najib, "Jika kita faham
kenapa pilihan raya diadakan, kita takkan benarkan perasaan dan pertimbangan
lain menggantikan pertimbangan untuk parti, seelok-eloknya kalau kecewa pun
dalam tempoh 24 jam sahaja. Lepas itu kena turun padang.''
Semoga
pesanan Perdana Menteri ini akan menjadi iktibar kepada mereka yang tidak
terpilih sebagai calon agar impian BN untuk meneruskan kesinambungan perjuangan
demi bangsa, agama dan negara tidak dikhianati dari dalam.
Sumber : © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...