Namun, bagi pembangkang, agihan kerusi bukan sekadar satu masalah,
tetapi hampir pasti menjadi 'malapetaka' paling besar menjelang PRU-13 pada 5
Mei ini - hari yang bakal menentukan untung nasib pakatan antara Pas, Parti
Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.
Jika percakaran sesama sendiri yang semakin heboh diperkatakan dijadikan
kayu ukur, cita-cita pembangkang mahu menakluki Putrajaya tampak semakin jauh
daripada jangkauan.
"Kalau sekarang pun sudah bergaduh sesama sendiri, macam mana
mereka hendak jadi kerajaan," kata peniaga kedai runcit, R. Gopal yang
ditemui penulis di Ipoh, Perak semalam.
Rakyat Perak sebenarnya sedang melihat penuh minat perkembangan politik
negeri itu yang pernah kucar-kacir akibat percakaran sesama sendiri pemimpin
pembangkang sehingga membawa kejatuhan kerajaan pembangkang pada 2009.
Hakikatnya, perpecahan sesama parti pembangkang di Perak kelihatan
semakin ketara sehingga menampakkan kehodohan sikap pemimpinnya yang begitu
ghairah mengejar kuasa.
Di Bagan Serai misalnya, Pengerusi PKR negeri, Muhammad Nur Manuty yang
awal-awal lagi diumumkan sebagai calon kawasan Parlimen itu dibantah keras Pas
bahagian yang mengaku lebih berhak ke atas kerusi tersebut.
Perebutan dua parti itu juga berlaku di kerusi Dewan Undangan Negeri
(DUN) Alor Pongsu sehingga memungkinkan berlakunya pertembungan sesama sendiri.
Parlimen Pasir Salak yang merupakan kawasan majoriti Melayu turut
menyaksikan perebutan antara Pas dan PKR sehingga menyaksikan hampir 500 ahli
PKR dan Pas bertindak keluar parti dan menyertai UMNO sejak sebulan lalu.
Keputusan meletakkan Yang Dipertua Pas Lenggong, Razman Zakaria sebagai
calon Parlimen Lenggong pula membawa kepada peletakan jawatan 13 ahli
jawatankuasa PKR kawasan itu, tindakan yang memberi satu lagi tamparan hebat
pucuk pimpinan pembangkang Perak.
Krisis dalaman serta perebutan kerusi antara PKR dan Pas juga dikatakan
berlaku di beberapa kawasan strategik termasuk di DUN Changkat Jering, Sungai
Manik, Kota Tampan, Behrang dan Selinsing.
"Kami bukan mahu berbalah, kami hanya mahukan keadilan. Kami
bekerja kuat sejak dahulu, tiba-tiba PKR datang umum hendak jadi calon,
logikkah begitu?" tegas seorang pemimpin muda cawangan Pas DUN Sungai
Manik kepada Utusan Malaysia.
Agak melucukan Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak, Datuk Seri Nizar
Jamaluddin dalam ceramah di Pasir Panjang kelmarin dengan sinis berkata
pemimpin BN `sedang berebut kerusi macam budak-budak.
Ironinya, Nizar mungkin terlupa lumrah pertengkaran budak-budak biasanya
berakhir dengan ada yang akan mengalah dan esok lusa mereka berkawan semula.
Keadaan berbeza bagi pemimpin pembangkang, mereka bukan sahaja
bertelagah dan berperang secara terbuka, malah sedang berhempas-pulas
'membunuh' karier politik sesama sendiri, semuanya kerana dibuai angan-angan ke
Putrajaya.
Sumber : © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...