Sikap Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang
mengkritik manifesto Barisan Nasional (BN) tetapi gagal membuktikan
kemampuan manifesto pembangkang disifatkan sebagai 'sesuatu yang amat
menyedihkan'.
Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Chor Chee Heung berkata, manifesto
pembangkang jika dilaksanakan hanya akan menyebabkan negara muflis.
"Sesuatu yang amat menyedihkan melihat Kit Siang hanya mampu
mengkritik manifesto BN, tetapi gagal menyedari apa yang dihasilkan
mereka adalah retorik dan bersifat populis sehingga sukar untuk
dilaksanakan,'' katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Chee Heung berkata, walaupun pakatan pembangkang memerintah di empat
buah negeri, mereka gagal membuktikan manifesto yang dihasilkan berdaya
maju dan boleh diyakini.
''Kebanyakan janji mereka (pakatan pembangkang) tidak realistik dan
mustahil untuk dilaksanakan dan jika dilaksanakan, negara bakal muflis
dalam tempoh dua tahun.
''Janji memansuhkan tol, pendapatan isi rumah sebanyak RM4,000
sebulan, meningkatkan gaji minimum sehingga RM1,100 hanya memberi
manfaat kepada pekerja asing dan memansuhkan PTPTN (Perbadanan Tabung
Pendidikan Tinggi Negara) merugikan negara,'' katanya.
Beliau yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, BN
bukan sahaja berpengalaman mentadbir negara tetapi boleh memahami
kehendak rakyat dan mampu menyesuaikan polisinya dalam memacu Malaysia
ke arah negara berpendapatan tinggi.
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...