Khalid Samad, calon Pas kerusi Parlimen Shah Alam kelihatan cuba
menyalahkan pegawai pengurus pilihan raya, Datuk Mohd. Jaafar Atan di
Dewan Besar Tanjung, Seksyen 19, Shah Alam Sabtu lepas.
Ini berlaku apabila pengumuman namanya oleh Mohd. Jaafar di
pekarangan dewan itu tidak disahut langsung dengan laungan 'takbir' atau
sorakan daripada para penyokongnya sendiri. Tetapi sorakan sokongan
daripada para penyokong BN kepada saingannya, Zulkifli Noordin lebih
ketara.
Ini menyebabkan Khalid kelihatan 'naik angin' sambil perlahan menyebut 'please respect'
(tolong hormat) untuk penyokongnya. Dan pada masa sama Mohd. Jaafar
dengan riak kurang selesa, sekadar berbisik kepada staf Suruhanjaya
Pilihan Rayanya: "Rasanya mereka (penyokong Khalid) dengar sebab
(masing-masing kumpulan penyokong parti) dalam had 50 meter dah."
Khalid, 55, diakui agak 'tersepit' di Shah Alam. Ketika wartawan
menghampiri Zulkifli menanyakan kepincangan-kepincangan yang telah Pas
lakukan kepada penduduk Shah Alam, peguam itu sekadar berkata:
"Apa nak
saya ceritakan lagi, saya fikir penduduk Shah Alam sudah tahu apa yang
Pas khususnya Khalid Samad, DAP dan PKR lakukan dalam lima tahun di
sini. Saya tak akan menyebut lagi apa kepincangan Pas, sebaliknya saya
lebih suka menawarkan apa yang ingin kita (BN) berikan kepada penduduk
Selangor terutama Shah Alam."
Zulkifli, 50, nampak tidak tertekan dengan kehadiran para penyokong
Pas dan PKR. Malahan suatu ketika dalam menghargai kehadiran penyokong
BN yang memenuhi jalan di depan sebuah restoran nasi kandar berdekatan,
dia dijulang pula oleh sekumpulan penyokong India. Ia merupakan kumpulan
sama yang 'menyoraknya' di Seksyen 11 Khamis lalu.
Khalid realitinya akan menerima tentangan sengit daripada Zulkifli.
Nama Khalid agak tercalar apabila bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk
Dr. Hasan Ali sebelum ini mendedahkan dialah yang selama ini menjadi
'parasit' dalam Pas.
Penyandang kerusi Parlimen Shah Alam itu didakwa oleh Hasan yang
dilucutkan jawatan Exco Hal Ehwal Islam Selangor pada 13 Januari 2012
sebagai sering dilihat mengeluarkan kenyataan kontroversi tentang Islam.
Malahan selain itu Khalid merupakan individu paling lantang menentang
usaha Hasan untuk melarang penjualan minuman keras di kedai-kedai runcit
dan serbaneka di kawasan penempatan majoriti orang Melayu.
Khalidlah juga yang beria-ia mengkritik Jabatan Agama Islam Selangor
(JAIS) ketika agensi agama itu menyerbu sebuah premis yang dikatakan
sebagai sebuah gereja. Bukan Hasan sahaja mempunyai persepsi begitu
terhadap Khalid, Zulkifli demikian juga.
Zulkifli sebelum ini pun meluahkan rasa kesalnya dengan kenyataan
Khalid yang menyuarakan persetujuan kepada keputusan Mahkamah Tinggi
Kuala Lumpur pada 31 Disember 2009 - yang membenarkan permohonan
kumpulan Kristian melalui akhbar The Herald untuk menggunakan perkataan Allah bagi ganti nama God dalam penerbitan mereka.
Dan nada sama diluahkan terhadap ungkapan Khalid yang cuba 'memajukan
idea' bahawa kematian anggota-anggota keselamatan di perbatasan di
Lahad Datu dan Semporna tempoh hari sebagai 'skrip UMNO dan BN untuk
terus berkuasa'. Ini juga dibidas banyak pihak.
Barangkali penduduk Shah Alam, yang didiami masyarakat pelbagai taraf
pendidikan memahami rentak dan taktik parti-parti yang bertanding untuk
meraih undi mereka.
Tapi hakikatnya Shah Alam tidak seperti lima tahun dulu. Pusat
hiburan dan hotel- hotel bajet semakin bercambah. Pawagam tujuh panggung
pun sudah ada. Satu undi amat berharga bagi penduduk Shah Alam.
Sumber : © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...