Perjuangan PAS kini telah jauh tersasar dari
arah tuju utama mereka. Segala usaha dan tekad mereka kini hanyalah
berkiblatkan tampuk pimpinan Putrajaya. Sekilas lipatan sejarah memperlihatkan
suatu ketika dahulu mereka cukup taksub dalam mentarbiyah ahli dan juga
memperjuangkan negara Islam.
Atas sebab itu juga penyokong-penyokong PAS
tidak gentar menghadapi apa sahaja rintangan. Malah suatu ketika dahulu, apa
sahaja yang dilakukan tidak langsung mengharap sebarang ganjaran. Suruhlah
mereka panjat pokok setinggi-tingginya untuk memasang bendera PAS, mereka akan
berebut-rebut untuk melakukannya.
Semua ini lahir dari kepimpinan Haji Hadi
Awang yang cukup istiqamah memperjuangkan penubuhan negara Islam. Kata-kata
beliau dijadikan azimat buat penyokong-penyokong PAS berjuang di mana-mana
sahaja tanpa rasa gentar.
“Kita rela kalah kerana melaksanakan Islam.
Kita rela ditolak oleh rakyat kerana melaksanakan suruhan ALLAH. Apalah
maknanya sebuah pemerintahan tanpa mendapat redha ALLAH!”
Di manakah bermula detik-detik signifikan
yang telah mengubah hala-tuju perjuangan PAS mutakhir ini? Kenapakah dari
sebuah kelompok yang konsisten memperjuangkan negara Islam boleh bertukar
sekelip mata? Tokoh yang sama juga terlibat dalam mengemudi arah tuju baru PAS.
Beliau pernah berkata pada Januari 2003:
“Justeru kerana isu Negara Islam dan
perlaksanaan hudud dan syariat menjadi punca perpecahan Barisan Alternatif
terdahulu, maka PAS perlu membuat satu pengorbanan dan (ijtihad besar) untuk
tidak memasukkan persoalan Negara Islam dan pelaksanaan HUDUD di peringkat
persekutuan. Peruntukkan mengenai Islam adalah mencukupi sekadar apa yang telah
termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan seperti yang diamalkan kini.”
Perubahan radikal yang dibawa oleh TGHA ini
jelasnya adalah untuk memenuhi keperluan kesepakatan antara DAP dan juga PKR.
Lazimnya DAP tidak sesekali akan berganjak dengan prinsip mereka yang menentang
sekerasnya penubuhan negara Islam dan juga undang-undang hudud. Formula ini
telah memberi pulangan kepada Pakatan Rakyat dalam PRU12.
Persoalannya sekarang, adakah wujud lagi
keperluan bagi orang Melayu Islam menyokong PAS?
Ini adalah kerana PAS tidak lagi berbeza
dengan UMNO. Segala aspek yang kini diperjuangkan oleh PAS seperti Negara
Berkebajikan telah lama diimplimentasi oleh Barisan Nasional. Malahan sekarang golongan
ulama sudah semakin disisihkan oleh pimpinan utama PAS. Nama-nama besar seperti
Ustaz Nasharuddin dan juga Hasan Ali disisihkan dan diganti dengan pemimpin
yang lebih liberal pandangan mereka terhadap Islam.
Masih relevankah perjuangan PAS kini?
Pendekatan liberal ini jelas terpancar
apabila isu penggunaan kalimah suci ALLAH di dalam Kitab Injil berbahasa Melayu
dibangkitkan oleh Pakatan Rakyat. Hanya setelah menerima tamparan hebat oleh
bukan sahaja golongan ulama dalam PAS malahan majoriti rakyat Islam, barulah
PAS membatalkan sokongan mereka terhadap isu ini. Namun ini tidak memadamkan
kesangsian Melayu Islam di Malaysia tentang keikhlasan PAS memperjuangkan
Islam.
Kesangsian tersebut semakin menebal apabila
TGHA dilaporkan berkata pada 3.11.2012:
“Kita mengikut kesesuaian termasuk
melalui jangkaan penerimaan pengundi untuk menjamin kemenangan. Sebab itu kita
tidak boleh dan tidak meletakkan calon bertanding begitu sahaja, kita mahu
calon itu menang.”
Maka lengkaplah transformasi PAS dari sebuah
parti yang berlandaskan Islam dalam segala aspek kepada sebuah parti demokratik
liberal yang akan mengambil kira keperluan dan kesesuaian masa kini sehingga
mengenepikan niat penubuhan negara Islam dan Hudud.
Dengan kata lain, PAS bukanlah Parti Islam Se-Malaysia
yang selama ini tegas memperjuangkan agenda-agenda Islam.
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...