Datuk Seri Najib Tun Razak berharap rakyat tidak
melihat kepada perkara remeh-temeh tetapi memikirkan soal yang lebih
besar sebagai pertimbangan sebelum memilih kerajaan dalam Pilihan Raya
Umum Ke-13 (PRU-13) ini.
Perdana Menteri turut berharap rakyat tidak menghukum Barisan
Nasional (BN) hanya kerana isu kecil sebaliknya turut menilai sumbangan
besar parti itu dalam pembangunan negara.
"Jangan hanya kerana 'hujan sehari, habis kemarau lima tahun'. Kita
harus memikirkan soal lebih besar daripada perkara remeh sehingga
menyebabkan kita mengalih sokongan.
"Ini bukan bererti perkara itu tidak penting, seperti masalah tidak
ada titi kecil di depan rumah atau sebagainya, lalu kita alihkan
pandangan kita terhadap pembangkang," katanya ketika berucap di Pusat
Daerah Mengundi (PDM) Kampung Serambit.
Najib yang juga Pengerusi BN berkata, beliau berharap rakyat menilai
kerajaan BN yang selama ini sanggup bersama-sama mereka dalam situasi
susah dan senang.
Dalam masa sama, Najib yang merupakan penyandang kerusi Parlimen
Pekan berharap pengundi di kawasan itu terus memberi sokongan supaya BN
memperoleh majoriti lebih besar dalam PRU-13.
Katanya, kemenangan dengan majoriti besar di kerusi Parlimen itu akan menjadi penilaian terhadap sokongan rakyat terhadap BN.
Sementara itu di Pekan, Najib berkata, BN lebih layak digelar
pakatan sebenar berbanding pembangkang yang tidak mempunyai persefahaman
sejak awal walaupun telah membentuk satu pakatan antara mereka.
Menurutnya, pembangkang sudah nampak kucar-kacir termasuk calon
berlawan satu sama lain tetapi dalam BN perkara seperti itu tidak
berlaku.
"Jika dilihat pada dasarnya mereka sudah berbeza iaitu Pas bertegas
untuk melaksanakan hudud sedangkan DAP akan menentang apa sahaja yang
dilakukan Pas.
Sumber : © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...