Darahsatriadotcom

Followers

Tuesday, 4 June 2013

DAP Terperangkap Dengan Jerat Sendiri!

DAP terus 'berdrama' apabila menggesa Pendaftar Pertubuhan (ROS) berhenti mendedahkan sebarang hasil siasatan berhubung pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) Disember lalu kepada umum.

Malah pemimpin DAP juga disifatkan seperti 'cakap tak serupa bikin' kerana sebelum ini juga beberapa kali tampil membuat kenyataan terbuka berhubung siasatan ROS termasuk membuat drama air mata kononnya mereka mungkin tidak dibenarkan bertanding dan lambang roket tidak boleh digunakan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 yang lalu.

Naib Pengerusi Strategik MIC, Datuk R. Ramanan mendakwa, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sendiri pernah 'berbohong' dan memanipulasi surat ROS kepada parti itu bertarikh 17 April 2013 dalam satu sidang akhbar di Pulau Pinang.

"Ketika itu DAP boleh bercakap dan mengeluarkan kenyataan sesuka hati tetapi sekarang, tiba-tiba mereka boleh mendesak malah mengeluarkan 'arahan' supaya ROS tidak lagi mendedahkan hasil siasatan kepada umum,'' katanya dalam kenyataan kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurutnya, DAP adalah sebuah parti yang hipokrit dan suka berdrama.

"Cukuplah Guan Eng, lebih baik hentikan semua ini dan buat pemilihan semula andai parti kamu benar-benar demokratik," ujarnya.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang meminta ROS berhenti mendedahkan maklumat hasil siasatan yang dijalankan terhadap parti itu sehingga urusan berkenaan selesai.

Jumaat lalu, ROS mendedahkan terdapat ramai ahli DAP yang layak menghadiri Kongres Kebangsaan Ke-16 parti itu tahun lalu tetapi tidak menerima notis panggilan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Rahman Othman berkata, perkara itu didedahkan sendiri oleh ahli-ahli DAP terbabit.

Disebabkan tidak menerima notis panggilan menghadiri kongres tersebut katanya, ramai dalam kalangan mereka yang layak mengundi pada pemilihan CEC parti, gagal berbuat demikian.

Dalam pada itu, Ramanan turut melahirkan rasa hairan dengan tindakan Guan Eng yang 'asyik' mengulangi dakwaannya bahawa ROS berniat untuk membatalkan pendaftaran parti itu.

"Mengapa Guan Eng begitu berminat untuk mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan umum? Daripada gaya beliau bercakap, seolah-olah beliau mahu partinya dibatalkan. ROS tidak pernah kata hendak batalkan pendaftaran.

"Adakah dengan membatalkan pendaftaran parti, maka cita-cita Guan Eng untuk 'menutup' segala kekotoran parti itu tercapai? Mengapa beria-ia benar beliau mahu partinya dibatalkan?," ujarnya.

Dakwa Ramanan, Guan Eng sebenarnya sangat 'takut' untuk melakukan pemilihan semula CEC kerana terdapat 753 perwakilan DAP yang dinafikan haknya untuk memilih barisan kepemimpinan utama parti itu.

"Guan Eng bersama konco-konconya sudah mula tidak senang duduk, makin lama makin banyak pendedahan dilakukan. Mereka sudah mula risau dan gelisah, kerana itulah mereka mula menyerang ROS.

"Selama berbulan-bulan mereka mendiamkan diri, kini kehabisan modal bagi menutup pekung, maka seperti biasa mereka akan ugut untuk membawa isu itu ke mahkamah selain serangan tentera siber DAP, Red Bean Army terus dilancarkan," tegasnya.

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...