Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan
DAP telah merosakkan pendirian dan manhaj Pas yang mendidik ahli-ahlinya
supaya reda dengan ketentuan Allah SWT.
Aktivis Pas, Mohd. Riza Kamaruddin berkata, ahli-ahli Pas telah
menghayati pendirian dan mengamalkan manhaj itu sejak Pilihan Raya Umum
Pertama lagi.
Sebab itu katanya, tidak timbul sebelum ini Pas menganjurkan gerakan di jalanan untuk memprotes keputusan pilihan raya umum.
Jelasnya, kebanyakan ahli parti yang turut terjerumus dalam gerakan
tersebut dan menyertai siri perhimpunan haram, adalah mereka yang baru
memasuki Pas malah ada di antara mereka sekadar penyokong parti sahaja.
"Mereka menyertai Pas atas alasan tertentu tanpa mengikuti
program-program parti seperti usrah dan tamrin, jadi mereka hanya
menjadi penyokong tegar umpama tin kosong tanpa pengisian serta taujihad
perjuangan yang jelas.
"Tidak dinafikan ramai dalam kalangan mereka menyertai Pas
semata-mata kerana kebencian terhadap UMNO hasil momokan berterusan
daripada pelbagai sumber," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau mengulas pendirian beberapa pemimpin kanan Pas yang menolak
kaedah politik ganas bagi menggulingkan kerajaan yang dipilih rakyat
secara sah dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Pendirian itu disuarakan oleh Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr.
Haron Din; Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib; Timbalan Ketua Dewan
Ulama Pas, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed; Timbalan Menteri Besar Kelantan,
Datuk Nik Mohd. Amar Nik Abdullah; Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas, Nik
Mohd. Abduh Nik Abdul Aziz dan Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Perak,
Norazli Musa.
Menurut Mohd. Riza, ahli-ahli Pas yang sering mengikuti program
tarbiah haraki seperti usrah dan tamrin sentiasa mendengar nasihat serta
patuh kepada arahan parti.
Kata beliau, ahli Pas di semua peringkat wajar menyambut baik seruan
badan tertinggi parti yang membantah dan menolak segala bentuk cubaan
menggulingkan kerajaan melalui protes jalanan.
"Biarkan sahaja kumpulan 'sakit jiwa' yang diketuai Anwar dan
Penasihat DAP, Lim Kit Siang terus meroyan bagaikan hilang akal,"
ujarnya.
Mohd. Riza memberitahu, ahli-ahli Pas semakin sedar tentang penipuan
dan manipulasi berhubung PRU-13 yang sengaja dimainkan oleh Anwar.
"Sebenarnya mereka melihat permainan Anwar ini sebagai sesuatu yang sangat berbahaya dan bermotif sangat jahat.
"Mana mungkin dalam siri ceramah jalanannya Anwar melemparkan
pelbagai tuduhan liar terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tetapi
tidak melaporkannya semasa membuat laporan polis. Adakah ini tidak
pelik?," katanya.
Menurut beliau, Pas kini memikul ujian berat untuk menolak segala
anasir yang boleh menjurus kepada rusuhan kaum dan menggugat kestabilan
negara.
"Pas wajib menolak segala perhimpunan anjuran 'Bapa Kekecewaan Negara' iaitu Anwar dan sekutunya Kit Siang," ujarnya.
Mohd. Riza juga menyeru ahli-ahli Pas menghormati saranan dan nasihat
pemimpin kanan parti dengan tidak menyertai perhimpunan haram di
Kelantan pada 12 Jun ini.
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...