Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, belum sampai
masanya bagi Barisan Nasional (BN) untuk menjadi sebuah parti yang
terbuka kepada rakyat berbilang kaum di Malaysia.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, pendekatan terbaik pada masa ini
ialah kerjasama antara parti-parti yang mewakili kaum dalam konsep
perkongsian kuasa dan kekayaan negara.
"Kita tak boleh ketepikan parti-parti yang mewakili kaum mereka.
Walaupun dalam BN terdapat parti-parti yang berbilang kaum, tetapi pada
hakikatnya parti yang mendakwa dirinya sebagai berbilang kaum juga
didominasi oleh satu kaum sahaja.
"Kalau kita lihat parti Gerakan sebagai sebuah parti berbilang kaum,
tapi ia dikuasai oleh orang Cina, jadi belum sampai masa kita boleh
ketepikan kaum dan kita adakan satu parti," katanya di sini hari ini.
"Kita lihat DAP umpamanya dikatakan berbilang kaum, tapi sebenarnya
dikuasai oleh orang Cina. Demikian juga dengan PKR dikuasai oleh orang
Melayu.
"Jadi biasanya, walaupun diadakan satu parti berbilang kaum,
satu-satu kaum akan mendominasi dan ini tidak menjadikannya sebuah parti
berbilang kaum," kata Dr. Mahathir.
Beliau berada di sini kerana memberi syarahan umum mengenai Keamanan Global dan Penyelesaian Konflik sempena perasmian Mahathir Global Peace School di Universiti Muhammadiyah Yogyakarta (UMY).
Dr. Mahathir berkata, BN tidak boleh tergesa-gesa menerima sesuatu
cadangan tentang corak dan bentuk parti itu di masa depan, sebaliknya
semua cadangan perlu dikaji dengan mendalam akan kesan baik dan
buruknya.
Beliau turut ditanya mengenai sama ada BN boleh menerima kemasukan
parti-parti pembangkang selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13)
sebagaimana Perikatan pada suatu masa lalu membawa masuk parti
pembangkang ke dalam parti gabungan itu.
Dr. Mahathir berkata, BN terbuka kepada parti pembangkang, tetapi
mereka mestilah membelakangkan prinsip mereka yang bertentangan dengan
perjuangan BN.
Mengenai prestasi UMNO dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), Dr.
Mahathir berkata, walaupun parti itu menjadi parti terbesar yang menang
dalam pilihan raya itu, ia masih berdepan dengan banyak kelemahan.
"Kemenangan UMNO kali ini bukan kerana kekuatan UMNO ataupun
perpaduan dalam UMNO, kemenangan UMNO kali ini disebabkan oleh perasaan
takut orang Melayu, terutamanya kalau-kalau parti lawan yang dipimpin
oleh Anwar Ibrahim bersama dengan DAP mendirikan kerajaan di Malaysia.
"Kalau mereka mendirikan kerajaan di Malaysia, sudah tentu nasib
orang Melayu akan menjadi lebih buruk. Sebab itu mereka memberi sokongan
kepada UMNO," kata Dr. Mahathir.
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...