Darahsatriadotcom

Followers

Wednesday 19 June 2013

Siapa Pengkhianat Dalam PAS Sebenarnya?

Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa tidak sewajarnya menggelar mana-mana pemimpin parti yang tidak menyertai perhimpunan anjuran pakatan pembangkang bagi membantah perjalanan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu, sebagai pengkhianat.

Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Perak, Norazli Musa berpandangan, gelaran pengkhianat sebenarnya lebih tepat diberikan kepada mana-mana pemimpin Pas yang mematuhi arahan pucuk pimpinan parti lain.

Menurut beliau, arahan untuk menganjurkan perhimpunan membantah keputusan PRU-13 dikeluarkan oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bukan melalui persetujuan majlis pimpinan pakatan pembangkang.

“Kalau kita mematuhi arahan pemimpin parti lain, itu lagi khianat sebenarnya," katanya di sini hari ini. Norazli mengulas percanggahan kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang tidak memaksa ahli Pas menyertai perhimpunan itu sedangkan Husam sebelum ini mendakwa pemimpin Pas yang tidak menyokong pendiriannya sebagai pengkhianat parti yang lupa asal-usul.

Semalam, Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din meminta ahli parti mematuhi pendirian dan nasihat Abdul Hadi.

Norazli menambah, ahli Pas juga sepatutnya wala’ atau mematuhi pendirian pemimpin yang mempunyai kedudukan paling tinggi di dalam parti.

“Husam cuma Naib Presiden sedangkan Abdul Hadi ialah Presiden manakala Majlis Syura Ulama menduduki hierarki tertinggi di dalam Pas.

“Sepatutnya kita menyokong pemimpin yang lebih tinggi, bukannya bercanggah pendapat dengan mereka," jelasnya sambil menegaskan tidak akan menghadiri perhimpunan itu kerana mematuhi arahan pemimpin tertinggi Pas.

Sementara itu, Naib Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed berkata, secara dasarnya, mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat pada 9 Jun lalu sebulat suara bersetuju parti itu mengambil bahagian dalam perhimpunan tersebut.

Walau bagaimanapun, jelas beliau, tidak kesemua pemimpin dan ahli Pas dapat hadir kerana mereka ada halangan atau urusan lain yang lebih penting.

“Mungkin mereka ada keperluan lain seperti urusan di luar kawasan atau mengerjakan umrah semasa perhimpunan dijalankan.

“Kita tidak boleh melabelkan mereka sebagai pengkhianat kerana masing-masing ada alasan. Itu tidak tepat," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ditanya sama ada akan menyertai perhimpunan tersebut atau tidak, Mahfodz menjelaskan, beliau berada di luar kawasan.

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...