Darahsatriadotcom

Followers

Tuesday 30 July 2013

Haram Tetap Haram!

Penyertaan wanita Islam dalam pertandingan ratu cantik adalah haram seperti diputuskan Majlis Fatwa Kebangsaan, walaupun tidak memperaga baju mandi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, fatwa yang diwartakan pada 1996 itu jelas menyebut penyertaan orang Islam dalam pertandingan ratu cantik adalah haram dan berdosa. 
“Jadi bukan fasal soal baju, fatwa menyebut (penyertaan wanita Islam dalam) ratu cantik, tak dibenarkan,” katanya.
Terdahulu, Jamil Khir yang juga Pengerusi MAIWP, mengulas kenyataan penganjur Miss Malaysia World 2013 yang meminta peserta Islam dibenarkan bertanding kerana mereka tidak akan memperagakan baju mandi.

Pembatalan penyertaan empat wanita Islam dalam pertandingan ratu cantik itu menimbulkan polemik dengan keputusan muktamad sama ada pihak terbabit akan dikenakan tindakan kerana menolak fatwa itu, akan diketahui minggu depan. 
 
Fatwa yang diwartakan pada 8 Februari 1996 bawah Akta Pentadbiran Undang-undang Islam Wilayah Persekutuan 1993 itu memutuskan, menyertai, menganjurkan atau menyumbangkan apa-apa untuk pertandingan ratu cantik haram dan berdosa bagi orang Islam.

Jamil Khir berkata, pihak yang menyangkal fatwa itu boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 7 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 kerana menghina Islam iaitu penjara maksimum dua tahun atau denda RM3,000 atau kedua-duanya.

Diajukan soalan mengenai tindakan penganjur yang seolah-olah memudahkan penyertaan wanita Islam dalam pertandingan itu dengan tidak meletakkan memperaga baju mandi, syarat, Jamil Khir berkata, undang-undang syariah hanya untuk orang Islam dan orang bukan Islam tidak tertakluk kepada fatwa berkenaan.

Bagaimanapun, beliau mengakui mengenai kepelbagaian yang cuba diterapkan untuk mengheret orang Islam dan kerana itu mereka perlu berpakat dalam soal ini bagi memastikan kepentingan agama dan umat Islam tidak dicabar.

Mengenai gesaan Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia (MPWIM) supaya kerajaan mewujudkan Enakmen Jenayah Syariah berhubung penyertaan orang Islam dalam pertandingan ratu cantik, Jamil Khir berkata, pihaknya mengambil perhatian mengenai cadangan itu.

Ditanya adakah fatwa mengharamkan penyertaan ratu cantik itu boleh dikaji semula, menteri agama itu berkata, “ia bergantung kepada keperluan”.

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...