Darahsatriadotcom

Followers

Tuesday 30 July 2013

PAS Mesti Bertindak Segera!


Seorang tokoh ulama di sini berharap pemimpin Pas dapat mengambil tindakan segera membersihkan parti tersebut dan ahli-ahlinya daripada ajaran Syiah.

Tokoh tersebut, Prof. Madya Dr. Abd. Aziz Hanafi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Gabungan Institusi Pondok, Maahad Tahfiz dan Ilmuwan Sunni (Giptis) berkata, walaupun penularan ajaran itu sukar dikesan kerana pengikutnya gemar berselindung dan bermuka-muka, namun pihaknya percaya keadaan itu wujud.

Menurut beliau, pihaknya amat berharap agar pengikut ajaran itu bertaubat dan kembali kepada akidah sebenar iaitu berdasarkan pegangan Ahli Sunah Wal Jamaah sebelum terlambat.


"Saya mengadakan pertemuan dengan kepimpinan Pas sebelum ini dan mereka menjelaskan bahawa Pas berpegang teguh kepada Ahli Sunah Wal Jamaah, jika mereka tahu siapa amal Syiah, dia akan ditolak.

"Jadi kenalah bersihkan cuma kalau ada yang berselindung kerana taqiyah yang merupakan senjata ampuh pengikut Syiah ini menyembunyikan diri, kita dapat merasainya daripada kenyataan dan ibadat pengikutnya. Kita risau dengan penularan ajaran ini terutama di kalangan pemuda Islam kita," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Giptis di Jitra dekat sini malam tadi.

Sebelum ini, Giptis melalui kenyataan Timbalan Pengerusinya, Ashiq Elahi berkata, penularan fahaman tersebut termasuk dalam kalangan generasi muda berpunca daripada pengikutnya terdiri daripada pemimpin politik.

Walaupun tanpa menamakan parti politik tersebut, namun beberapa pemimpin kanan Pas negeri itu tampil membuat kenyataan menafikan kewujudan pengikut Syiah dalam parti itu.

Menurut Abd. Aziz, Pas perlu serius berdepan dengan perkara tersebut dengan mengenalpasti pengikutnya dan mengambil tindakan.

Dalam pada itu, katanya, Giptis turut mengalu-alukan ilmuan Sunni dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam untuk bekerjasama dalam usaha menentang habis-habisan fahaman Syiah demi mengekang penularan ajaran itu di Kedah dan seluruh negara.

"Kita akan menganjurkan seminar untuk memantapkan akidah masyarakat Islam yang berpegang kepada Ahli Sunah Wal Jamaah dan dedah penyebaran ajaran sesat ini," katanya.

Pihaknya juga akan menyokong usaha kerajaan mengekang fahaman Syiah di seluruh negara.

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...