Darahsatriadotcom

Followers

Friday, 26 July 2013

Impian Pembangkang Terkubur!

Calon sesuai serta strategi berkesan oleh jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) adalah antara faktor yang mendorong kepada kemenangan parti berkenaan pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, kelmarin.
 

Laungan Gelombang Biru yang mengiringi kemenangan calon BN malam semalam, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman di Dewan Majlis Daerah Besut di Gong Kemuntong juga dengan sendirinya menolak kempen 16:16 yang dilaungkan pembangkang.
 

Kemenangan itu mengukuhkan lagi BN dan mengembalikan kedudukannya di Terengganu dengan majoriti mudah 17-15 seperti yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) 5 Mei lalu. Ia juga menafikan hasrat pembangkang untuk mewujudkan DUN tergantung, yang mungkin memaksa satu lagi pilihan raya semula.

Sebaliknya, majoriti 2,592 undi yang diperoleh calon BN menyaksikan pertambahan sebanyak 158 undi berbanding majoriti 2,434 undi yang diperoleh calon BN, Dr A Rahman Mokhtar dalam PRU-13 lalu. Dalam pilihan raya kecil kelmarin, Tengku Zaihan memperoleh 8,288 undi berbanding 5,696 undi yang diperoleh calon PAS, Endot@Azlan Yusof. 

Keputusan itu juga menunjukkan BN menang di semua lapan Pusat Daerah Mengundi (PDM), termasuk Kampung Nangka dan Bukit Puteri, yang ia kalah tipis pada PRU-13. Selain itu, BN juga menang di PDM Kampung Baru, kubu kuat PAS yang juga kawasan Endot. Laporan menyatakan dua kawasan yang menyaksikan pertarungan paling sengit ialah Kampung Baru dan satu lagi di Bukit Puteri, namun BN masih mampu mendapat 21 undi melebihi undi PAS di kedua-dua kawasan berkenaan.

Dalam reaksinya semalam berikutan keputusan pilihan raya itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata ia menunjukkan bahawa kekuatan UMNO masih menyerlah.

Penganalisis politik, Prof Madya Datuk Dr Junaidy Abu Bakar, berkata strategi kempen secara mikro, iaitu pendekatan man-to-man marking yang dilaksanakan sepanjang kempen memberi impak begitu positif dalam jumlah undi diraih.
 

“Tidak ada rapat umum kecuali apabila dihadiri Timbalan Perdana Menteri. Kempen lain dibuat secara rumah ke rumah. Kaedah ini lebih mudah dilakukan kerana keadaan rumah di kawasan Besut kebanyakannya berkelompok,” katanya yang juga Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
 

Tan Sri Muhyiddin Yassin juga ketika bercakap kepada pemberita menyatakan bahawa kempen yang tertumpu pada waktu malam melalui majlis berbuka puasa, Tarawih dan moreh tetapi dengan sentuhan berhemah, ternyata memberi impak kepada pengundi.
 

Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya BN berkata, inisiatif yang diambil dalam menyelesaikan hampir semua masalah penduduk memberi kesan mendalam dan menambahkan keyakinan pengundi terhadap calon dan kerajaan BN. Junaidy berkata, faktor calon BN yang muda, profesional dan anak kepada seorang ustaz turut membantu kemenangan BN dalam pilihan raya kecil itu, berbanding calon PAS yang bukan siswazah, berusia dan membuat perniagaan sendiri.
 

Selain itu, kelulusan peruntukan RM250 juta untuk penambakan muara Kuala Besut turut memberi keyakinan kepada pengundi bahawa Kerajaan Pusat mampu melaksanakan satu lagi projek pembangunan yang bakal menjadi mercu tanda di kawasan berkenaan.
 

“Dengan projek penambakan itu, beberapa kemudahan pelancongan bertaraf antarabangsa dapat dibangunkan di situ termasuk hotel, apartmen dan marina sekali gus menambahkan sumber ekonomi penduduk Besut,” katanya.
Kempen 16:16 yang diuar-uarkan pihak pembangkang, katanya, tidak berjaya memikat hati pengundi kerana mereka pernah berada di bawah pemerintahan kerajaan PAS dan tahu setakat mana pencapaian kerajaan pembangkang itu.
 

Lagipun, kerajaan BN yang memerintah berjaya menimbulkan kesedaran dalam diri pengundi bahawa kebuntuan jumlah kerusi hanya membawa kepada ketidakstabilan dalam pentadbiran negeri.
 

“Situasi terumbang-ambing itu akan hanya mengganggu perjalanan urusan mereka setiap hari. Justeru mereka bertanya, untuk apakah 16:16 itu seperti yang dilaungkan?” ujarnya.
 

Junaidy berkata, dari segi gerakan kempen, BN memang menyasarkan majoriti melebihi 4,000 undi tetapi ada beberapa faktor menyebabkannya tidak mencapai jumlah itu. Antaranya, hanya 10 peratus saja pengundi tempatan yang bekerja di luar kawasan balik untuk mengundi kali ini.
 

Lagipun hari raya sudah dekat dan ramai hanya balik ke kampung pada ketika itu berbanding masa pilihan raya kecil diadakan.
 

Apapun, kemenangan BN menunjukkan pengundi Kuala Besut yang rata-ratanya nelayan moden inginkan pembangunan di kawasan mereka dengan memilih kerajaan BN pada pilihan raya kecil terbabit.

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...