Darahsatriadotcom

Followers

Friday, 2 August 2013

Apa Sebenarnya Agenda Dong Zong!

Memang ada logiknya Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berpegang kepada keputusan untuk tetap mahu melancarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 6 September ini.

Ini disebabkan PPPM itu sendiri dicapai hasil pertemuan dengan rakyat pelbagai lapisan yang mengutarakan pelbagai isu pendidikan - yang disifatkan suatu program luar biasa dalam sejarah pendidikan negara.

Sebenarnya, tidak ada sudahnya pun untuk kita melayan kehendak dan tentangan menggila Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong).

PPPM dihasilkan dari Dialog Nasional Pendidikan Negara (DNPN) 2012 yang diadakan sejak 29 April tahun lepas di 15 lokasi di seluruh negara.

Dalam suatu pertemuan penulis dengan Pengerusi Panel Dialog itu, Tan Sri Dr. Wan Mohd. Zahid Mohd. Noordin, beliau sendiri melabelkan dialog berkenaan sebagai sesuatu yang 'fantastik'.

Dalam program tersebut, masyarakat yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan kaum tanpa mengira ideologi diberi ruang untuk meluahkan apa sahaja yang terbuku dalam hati serta berpeluang mengesyorkan cadangan-cadangan untuk penambahbaikan sistem pendidikan.

Malah, 11 lagi ahli panel menyanjungi usaha Kementerian Pendidikan menggerakkan dialog tersebut untuk merasai sendiri denyut nadi rakyat.

"Merata-rata saya pergi (ke negeri-negeri berkenaan), mereka (orang ramai) datang bersemangat tanda respons mereka pada kerajaan.

"Kalau kita lihat dalam satu-satu dewan itu, bukan 70 orang yang datang tetapi rata-rata di setiap lokasi melebihi 700 orang.

"Di Pulau Pinang sebagai contoh, kita terpaksa bahagikan pula kepada dua seksyen... malah pemimpin UMNO, DAP dan PKR duduk semeja dalam dialog tersebut, di Tawau sesak manakala di Kelantan lebih 1,020 yang hadir.

"Ini menunjukkan isu- isu pendidikan dirasakan semua orang dan merentasi segala perbezaan politik dan ideologi," katanya.

Sebenarnya DNPN yang menghasilkan PPPM merupakan satu inisiatif Kementerian Pendidikan di bawah Kajian Semula Pendidikan. Ia adalah wadah bagi perkongsian idea dan lontaran pandangan semua lapisan masyarakat yang dapat dijadikan input kepada kementerian itu dalam menyediakan Pelan Pembangunan Pendidikan.

Objektif dialog itu adalah untuk memberi peluang kepada rakyat mengemukakan idea dan pandangan ke arah transformasi pendidikan serta membina kesedaran bersama akan perancangan kementerian dalam membangunkan pendidikan melalui transformasi sistem pendidikan negara.

Dialog tersebut menggunakan konsep townhall di mana orang ramai dijemput hadir secara walk-in di lokasi yang strategik bagi membolehkan mereka bebas untuk memberikan pandangan, kritikan dan cadangan yang akan dijadikan imput bagi Pelan Pembangunan Pendidikan untuk jangka masa 15 tahun akan datang.

Wan Mohd. Zahid sendiri dan beberapa lagi panel berada pada setiap townhall itu bagi mendengar luahan dan aspirasi rakyat, luahan serta pandangan ini akan menjadi asas kepada Pelan Pembangunan Pendidikan itu.

Selain menggunakan kaedah townhall, pihaknya turut mengadakan pertemuan meja bulat dengan kumpulan tertentu seperti beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kumpulan kesatuan guru, media, kumpulan komuniti, pesara, wakil politik dan lain-lain lagi.

Bagi perjumpaan meja bulat itu, pihaknya hanya mengehadkan kepada 15 hingga 20 individu bagi sesuatu persidangan bagi memberi peluang kepada mereka bercakap lebih lama.

Daripada siri persidangan meja bulat bagi dialog tersebut, rata-rata respons yang diberikan sangat memberangsangkan.

Kata Wan Mohd. Zahid kepada penulis: "Walaupun berlainan ideologi dan fahaman politik, kumpulan-kumpulan ini mengamalkan sikap profesional dalam menyuarakan pendapat bagi kebaikan masa depan sistem pendidikan negara.

"Tidak keterlaluan saya katakan bahawa pendidikan mampu menyatukan pelbagai pihak dan mendapati rakyat negara ini sepakat bahawa pendidikan berkualiti adalah penting bagi memastikan negara dapat bersaing di peringkat global."

Dianggarkan lebih 11,000 orang daripada segenap lapisan masyarakat telah hadir bagi menyertai dialog berkenaan.

Panel dialog juga dengan tangan terbuka sentiasa menerima input daripada masyarakat sama ada secara lisan ataupun bertulis, menghantar memorandum dan sebagainya.

Penggunaan laman sosial seperti Facebook dan Twitter turut mendapat respons positif daripada masyarakat berhubung kajian semula pendidikan itu.

Wan Mohd. Zahid menambah, dalam dialog tersebut, pihaknya memberi peluang sepenuhnya kepada orang ramai untuk menyatakan pendapat, kritikan dan cadangan bagi diguna pakai dalam kajian semula pendidikan negara ini.

Pihaknya telah menganalisis sembilan perkara yang dikenalpasti merupakan keutamaan dalam transformasi pendidikan negara.

Antaranya adalah guru, aspirasi, kokurikulum, kepimpinan sekolah, kualiti sekolah, kapasiti dan keupayaan sistem penyampaian Kementerian Pelajaran Malaysia dan sebagainya.

Kata beliau kepada penulis: "Kita mengambil pendekatan tidak mahu campur tangan dalam proses dialog itu. Bila kita bagi penerangan kita sebut, kita minta dia nyatakan pandangan mereka kepada sembilan perkara keutamaan yang telah dikenal pasti.

"Namun, mereka juga boleh mengutarakan keutamaan lain daripada sembilan keutamaan itu.

"Penglibatan kita sangat minimum, kita lebih memberi peluang kepada mereka menyatakan pendapat, pandangan mereka. Kalau dia tanya "bersetuju tak", kita tidak akan memberi jawapan kerana itu pandangan mereka. Kita sebenarnya mahu dengar pandangan dia."

Jadi, kalau begitu kenyataannya bermakna PPPM adalah hasil suara dan hak rakyat pelbagai lapisan dan kaum.

Maka dengan ini, bertepatanlah ketegasan Muhyiddin bahawa kerajaan tidak akan tunduk atau berasa takut dengan desakan Dong Zong kononnya PPPM akan menghapuskan bahasa Mandarin dan sekolah-sekolah vernakular.

Malah agenda Dong Zong menyuarakan tuntutan terbabit amatlah diragui apabila Muhyiddin secara terbuka mencabar pertubuhan Cina itu membaca dan meneliti isi kandungan pelan berkenaan - yang tidak menyebut langsung usaha memansuhkan bahasa Mandarin atau sekolah jenis kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil.
Kita tidak tahu apa sebenarnya agenda Dong Zong.

1 comment:

  1. Orang Melayu Malaysia2 August 2013 at 20:18

    Apa yang dilakukan oleh Dong Zong menentang PPPM sama dengan apa yag pernah dilakukan Liga Belia Komunis menentang dasar pendidikan Inggeris.

    ReplyDelete

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...