Darahsatriadotcom

Followers

Thursday 15 August 2013

Bila Kesejahteraan Sosial Digugat!

Kesejahteraan sosial merujuk kepada jangkauan untuk memenuhi aspek kekurangan yang wujud dalam kebajikan masyarakat. Kehidupan seharian menuntut kita berinteraksi sama ada proses mengkod dan menyahkod informasi lisan mahupun bukan lisan adalah penting dalam memahami seseorang individu dari budaya yang berbeza.

Ahli teoris interaksionis iaitu George Herbert Mead (1936) menyatakan kehidupan sosial merangkumi aspek interaksi manusia. Ini bererti, tingkahlaku seseorang berkait dengan seorang yang lain, iaitu mengambil kira bagaimana seseorang berkelakuan di antara satu sama lain.

Maka, tidak rugi sekiranya kita lebih memahami agama lain maka tidak akan berlaku isu-isu mengguris hati agama lain seperti tindakan melampau Alvin Tan dan Vivian Lee (Alvivi) yang tidak memikirkan sensitiviti agama Islam dengan tiga tuduhan mempersendakan Islam dan Ramadan serta memuat naik video, dan gambar lucah.

Rasanya orang Cina pun terkena tempias dan kesal dengan perkara ini. Orang Cina tidak setuju dengan tindakan Alvivi yang keterlaluan dan janganlah "kerana nila setitik rosak susu sebelanga". 

Kejadian Ng Mun Tatt yang dipukul dengan teruk dan diculik dengan tebusan RM3,000 dan badannya diconteng perkataan "Saya hina agama Islam" dikatakan sebagai rentetan kes dendam terhadap Alvivi. Keadaan ini jika tidak ditangani akan mewujudkan isu perkauman dan dendam yang berpanjangan kelak.

Jika bercakap tentang sikap graduan seperti Alvin dan Vivian dari National University of Singapore sepatutnya mereka yang merupakan graduan yang berpendidikan tinggi, tidak akan bertindak tanpa memikirkan akibatnya. Persoalannya kenapa graduan berintelek hari ini hilang hati nurani dan di mana pula letaknya karisma mereka sebagai rakyat Malaysia?

Saya memetik kata-kata Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Amidi Abdul Manan, nilai yang dibawa dalam subjek Tamadun Islam dan Tamadun Asia (Tita) boleh mengelakkan siswa bersikap seperti pasangan blogger seks Alvin dan Vivian. Subjek Tita mampu memupuk rasa hormat dalam kalangan pelbagai bangsa dan menghargai kepelbagaian. Tak ada sesiapa cuba menghalau sesiapa atau cuba merendah dan meremeh mana-mana kaum.

Kementerian Pendidikan Malaysia perlu melihat perkara sebegini dengan serius dan sentiasa memantau dan menerapkan nilai- nilai murni di dalam jiwa anak-anak Malaysia supaya mencintai negara. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, usaha kerajaan mewajibkan subjek Tita kepada pelajar institusi pengajian tinggi Swasta (IPTS) tempatan tidak akan mengislamkan pelajar bukan Islam di negara ini. Subjek berkenaan merupakan usaha kerajaan untuk menggalakkan persefahaman antara masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.

Apa sebenarnya yang terlintas di benak fikiran Alvin dan Vivian yang menyatakan semua orang mempunyai pemikiran yang sama dengan mereka. Dia terlupa bahawa Malaysia mempunyai 60 peratus penganut Muslim. Adakah dunia dan pemahaman Alvin terbendung hanya kepada media sosial? Apa pula yang ingin dibuktikan Namawee sehingga mencetuskan kontroversi lagi di YouTube dengan video 017 Double Standard?

Kes terbaharu yang sekali lagi mengejutkan kita dengan persoalan apa pula yang terlintas di pemikiran wanita yang mencetuskan kontroversi menerusi media sosial dengan memuat naik video sambutan Aidilfitri bersama tiga ekor anjing peliharaannya ditahan polis bagi membantu siasatan.

Goffman 1959 juga seorang tokoh interaksionis mengemukakan idea "presentation of self" iaitu perwakilan diri yang merujuk kepada semua aktiviti individu yang dilakukan di hadapan penonton iaitu orang yang berinteraksi dengan individu tertentu seumpama berada di hadapan pentas dan mereka cuba memahami lakonan individu- individu tersebut dalam situasi-situasi tertentu. 

Maznah Mohd. Yusof, disiasat di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana disyaki melakukan kesalahan atas alasan agama yang boleh menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan, kebencian sehingga memudaratkan perpaduan. Video itu menunjukkan Chetz membawa tiga ekor anjingnya bersiar-siar dekat pekarangan masjid dengan suara latar takbir raya. "Raikanlah Aidilfitri bersama-sama, tanpa mengira spesies, warna dan asal-usul". Interaksi yang digunakan oleh Chetz dalam media sosial menimbulkan beribu-ribu jawapan yang berbeza dalam kalangan masyarakat.

Sehubungan itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung perkara tersebut dan membuat aduan kepada pihak polis dan pihak Jabatan Agama Islam Negeri berhubung tindakan undang- undang. Pemikiran dan cara interaksi Maznah berbeza kerana dia menyatakan video berkenaan untuk memberikan pendidikan kepada masyarakat cara-cara penjagaan anjing dan kebersihan. Katanya, video itu disalah tafsir dan menafikan tindakannya itu merupakan satu penghinaan kepada Islam.

Memang wujudnya pelbagai tafsiran oleh masyarakat dalam isu-isu yang melibatkan sensitiviti agama khususnya. Kita berbalik kepada asas iaitu pentingnya komunikasi dan hubungan sesama manusia di mana kita hidup dalam masyarakat berbilang kaum, bangsa dan agama. Maka kita perlu beringat, sebelum melakukan sesuatu tindakan dengan fikir secara bijak dan berinteraksi dengan cara yang betul supaya tidak wujud salah faham dalam menjamin kesejahteraan negara. Salam Aidilfitri dan Salam 1Hati.

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...