Darahsatriadotcom

Followers

Thursday 15 August 2013

Perlembagaan Dalam Pembinaan Peradaban!

Malaysia adalah sebuah negara yang menghampiri status negara maju. Sama ada kita sedar atau tidak, status negara maju itu membawa erti, pembinaan satu peradaban. Mungkin perkataan 'maju' tidak sama dengan perkataan 'adab' yang menjadi kata dasar kepada 'peradaban'. Tetapi perkataan 'maju' yang kita maksudkan itu hendaklah juga diisi dengan 'adab'. Maka, kemajuan itu adalah juga satu peradaban. 

Peradaban yang juga disebut sebagai tamadun itu mempunyai asal perkataan Arab, iaitu adab. Perkataan adab dalam bahasa Arab itu digunakan dalam maksud yang lebih kurang sama dengan apa yang difahami dalam bahasa Melayu. Ringkasnya ia bermaksud etika atau tatasusila, termasuk kesopanan dan kesusilaan. 

Begitu juga dengan perkataan tamadun. Ia bermaksud taraf kemajuan yang mempunyai adab. Keduanya bermaksud pencapaian fizikal yang seimbang dengan pencapaian rohani. Dalam bahasa Inggeris, istilah yang digunakan ialah civilisation yang berasal daripada perkataan Latin yang merujuk kepada masyarakat bandar, hidup dalam keadaan teratur.


Ahli arkeologi dan ahli falsafah yang mengkaji hal berkaitan peradaban juga tidak mencapai kata sepakat berhubung definisi istilah itu. Apa yang disepakati mereka ialah beberapa ciri umum. Secara ringkas, ciri utama sebuah peradaban ialah pencapaian fizikal dan juga kerohanian.

Dalam erti kata lain, sebuah peradaban mempunyai agama serta mengekalkan prinsip moral. Peradaban juga mempunyai falsafah serta logik dan sains. Seterusnya peradaban mempunyai negara dan undang-undang. Tidak ketinggalan, mengingati sejarah adalah juga resipi peradaban. Gabungan semua ini akan menjadi pemangkin kepada peradaban yang jitu dan tuntas. 

Sekiranya kita melihat sejarah peradaban secara ringkas seperti Ibrani, Yunani dan Rom, ketiganya melengkapi. Ibrani dengan agama dan moral, Yunani dengan falsafah, logik dan sains, manakala Rom pula dengan konsep negara dan undang-undang. Ketiga-tiga ciri peradaban itu begitu jelas sekali dalam Islam. Peradaban Islam menggabungkan agama, kerohanian dan ketuhanan, pencapaian falsafah, logik dan sains dan seterusnya pembentukan negara dan undang-undang.

Berbalik kepada negara kita, persoalan yang saya cuba bawa di sini ialah, adakah kita mempunyai garis panduan jelas dalam mengorak langkah mencapai peradaban. Adakah kita mempunyai dasar yang jelas supaya kita tidak tercicir ciri penting sebuah peradaban.

Kita tidak mahu peradaban yang kita bina nanti hanya mementingkan pencapaian fizikal dan kebendaan. Itu bukan erti peradaban sebenar. Kemajuan fizikal saja tidak menjamin pemikiran dan kerohanian yang membentuk santun peribadi serta budi bahasa mulia bagi individu dan masyarakat dalam peradaban.

Dalam sistem yang kita ada sekarang saya melihat kepada peranan yang boleh disumbang Perlembagaan. Dengan statusnya sebagai undang-undang tertinggi negara yang memasyhurkan manifesto negara, Perlembagaan boleh menjadi asas dan panduan peradaban kita. Yang penting, kita hendaklah membaca dan mentafsir Perlembagaan dengan semangatnya tersendiri. 

Sekiranya tafsirannya tepat, Perlembagaan sudah mantap untuk dijadikan panduan atau dasar kepada peradaban kita. Semua nilai penting peradaban sudah diisi di dalamnya. Secara harfiah, Perlembagaan sudah menyerlahkan semua ciri sebuah peradaban. Gabungan antara prinsip agama dan moral; falsafah pembinaan negara dan jati diri sudah sedia sebati menerusi yang tersurat dalam Perlembagaan.

Dari segi ideologi, Perlembagaan meletakkan Islam sebagai agama negara. Berkaitan prinsip moral pula Perlembagaan juga mempunyai arah tuju tepat. Di samping itu, prinsip moral bangsa kita juga tersirat dalam aturan adat resam dan budaya yang bersendikan agama. 

Berkaitan falsafah negara dan pembinaan negara bangsa, kita sandarkan kepada prinsip kesaksamaan yang jelas dalam semangat Perlembagaan itu. 

Peradaban memerlukan usaha, pencapaian dan pengurusan. Kita perlu berusaha, melaksana dan mengurusnya dengan sempurna berdasarkan ciri dan panduan kita dapati daripada Perlembagaan. Kita bertanggungjawab menjadikan peradaban yang kita bina sebagai fajar untuk menyinarkan syiar Islam ke seluruh pelusuk alam.

Sesungguhnya kita tahu, Allah SWT tidak akan membiarkan sesuatu kaum itu mengharungi kesukaran kecuali dengan petunjuk-Nya. Maka Allah mengutuskan Rasul kepada mereka. Selepas petunjuk Allah SWT itu jelas, maka manusia itu sendiri akan menentukan untung nasib bangsanya.

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...