Menurut
mereka, persetujuan Pas bahawa kalimah Allah boleh digunakan oleh orang bukan
Islam dalam kenyataan bersamanya dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR)
pada 8 Januari lalu sememangnya tidak boleh diterima. Ini kerana
perkara tersebut amat berkaitan dengan usaha memelihara kesucian akidah Islam.
Ketua
Penerangan Minda Pondok, Harun Yahya berkata, tindakan Pas itu amat
mengecewakan umat Islam, khususnya para ulama kerana parti itu dilihat
menyokong fahaman pluralisme iaitu yang amat bercanggah dengan Islam.
"Inilah
hakikatnya sekarang. Di peringkat pemimpin memang payah hendak kita
perbetulkan, cuma apa yang boleh kita lakukan ialah memberitahu dan memaklumkan
kepada rakyat dan pengikut-pengikut Pas agar jangan sokong parti ini
lagi," katanya di sini hari ini.
Beliau
berkata demikian ketika ditanya tentang kedudukan Pas yang masih bersekutu
dengan DAP dan PKR.
Lebih malang
lagi, Pas sehingga hari ini belum menarik balik ketetapan yang dibuat bersama
DAP dan PKR bahawa orang bukan Islam boleh menggunakan kalimah Allah walaupun
Majlis Syura Ulamanya telah membuat keputusan sebaliknya.
Harun yang
merupakan tokoh ulama pondok turut menyelar tindakan sesetengah pihak yang
menggunakan hujah Ayat 25 surah al-Luqman bagi membenarkan bukan Islam boleh
menggunakan kalimah Allah.
"Sekali
imbas bagi orang yang tidak belajar kata, ini hujah orang bukan Islam boleh
guna kalimah Allah. Sedangkan tidak betul. Orang bukan Islam tidak akan mengaku
keesaan Allah. Mereka tetap mensyirikkan Allah.
"Adakah
kita mahu mengaku manusia ini bertuhankan Allah sedangkan mereka mensyirikkan
Allah?" ujarnya.
Tegas
beliau, di peringkat ini, setiap umat Islam mahu tidak mahu wajib
mempertahankan kalimah Allah iaitu kalimah suci berkenaan hanya untuk orang
Islam.
"Perjuangan
ini adalah jihad dan inilah perjuangan Rasulullah SAW. Rasulullah sendiri
pernah bersabda yang bermaksud 'Aku diutuskan sehingga manusia menyebut tiada
Tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu Pesuruh Allah'," katanya.
Penasihat
Minda Pondok, Abdullah Saamah pula berkata, tindakan Pas yang
bersekongkol dengan DAP telah menggalakkan konsep pluralisme agama yang jelas
bercanggah dengan Islam.
Tegas
beliau, perkara tersebut amat berkait rapat dengan soal akidah.
Berbanding
dengan UMNO, katanya, parti itu sentiasa mempertahankan kesucian akidah Islam
termasuk kalimah Allah daripada disalahgunakan.
Oleh itu
katanya, menjadi kefarduan kepada setiap umat Islam memberikan sokongan kepada
kerajaan seperti ini.
Dalam
perkembangan berkaitan, Ahli Jawatankuasa Minda Pondok, Mohd. Syamsul Mohd.
Yusoff al-Hafiz berkata, budaya fitnah yang amat berleluasa di dalam Pas
menyebabkan para ulama pondok di Kelantan tidak lagi mahu menyokong parti itu.
Beliau
berkata, sejak dahulu Pas hanya tahu menghasut rakyat dengan fitnah-fitnah yang
sengaja ditaburkan terutama menuduh UMNO menolak Islam.
"Tidakkah
mereka tahu bahawa dosa memfitnah itu lebih besar daripada membunuh dan
tidakkah mereka sedar pada hakikatnya UMNO merupakan sebuah parti yang
mempertahan, menegakkan dan mengembangkan Islam?
"Semuanya
ini disebut dengan jelas di dalam Perlembagaan UMNO," ujarnya.
Sumber : © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...