Darahsatriadotcom

Followers

Wednesday, 3 April 2013

Kerana Politik, Buta Mata Hati…

Penulis seperti biasa minum pagi sementara belum sibuk dengan urusan. Selalunya masa minum, penulis berbual santai dengan rakan, tetapi tidak pada pagi itu. Betapa tidak, negara dalam keadaan cemas. Biar pun Lahad Datu jauh dari Melaka, rasa prihatin rakyat Malaysia, walau di mana saja berada tetap sama. Marah terhadap pengganas dari selatan Filipina juga tetap sama.

Tiba-tiba datang teman menghuraikan keadaan di Lahad Datu. Dia langsung tidak bimbang dan menceritakan kejadian di Lahad Datu seolah-olah mengulas drama televisyen tempatan yang kebanyakannya tidak masuk akal dan penuh adegan air mata.

Ketika jenazah wira dibawa pulang ke kampung halaman untuk dikebumikan dan mereka yang cedera bertarung untuk terus hidup, dia melihat kejadian di Lahad Datu sebagai sandiwara. Dia antara mereka yang kosong roh dan jiwa. Langsung tidak sedih terhadap kematian wira negara atau bimbang dengan tindakan ganas warga asing menceroboh tanah air.

Mata dan hatinya sudah tertutup dengan ketaksuban politik lalu melihat, mengulas dan menilai kejadian Lahad Datu dari sudut pandangan politik yang dangkal serta pemujaan tokoh tanpa soal jawab. Baginya, kejadian di Lahad Datu sengaja diadakan pemerintah ketika saat menghadapi pilihan raya.

Ketaksuban tutup mata hati

Jelasnya ‘sandiwara’ itu untuk mengelak daripada mengadakan pilihan raya. Begitulah banyak orang pandai, tetapi tidak bijaksana kerana ketaksuban politiknya menutup mata, hati dan pertimbangan sebagai rakyat yang cintakan negara. Mungkin dia menjadi orang pertama berdiri di belakang idolanya apabila pemimpin itu sanggup menjual negara demi mencapai cita-cita.

Ketika negara diserang, politik dangkal mesti diketepikan kerana perjuangan yang lebih penting ialah mempertahankan kedaulatan negara. Sejarah membuktikan dalam kebanyakan kejadian, kehancuran sesebuah negara, hatta tamadun sekali pun, sebahagian besarnya berpunca daripada rakyat negara dan tamadun itu sendiri.
Mereka tidak mahu belajar daripada sejarah. Perbuatan sama yang dilakukan berulang kali akhirnya menjadi tabiat dan membentuk keperibadian.

Begitulah juga apabila politik taksub mengaburi akal, kematian wira negara tidak menjadi isu besar buat mereka, hatta kedaulatan negara tidak masuk ke dalam radar pertimbangan. Sebaliknya, mereka dalam kelompok yang hanya memperlekehkan tindakan dan strategi pasukan keselamatan memulihkan keselamatan, keamanan serta mempertahankan kedaulatan negara yang dinikmati sejak sekian lama.

Timbul pula cakap-cakap adanya pengkhianat dalam negara yang merestui kedatangan pengganas itu. Teringat pula filem cereka Hollywood mengenai puak menyambut makhluk asing yang mahu menghapuskan manusia.

Menangguk di air keruh

Cereka itu nampaknya sedang berlaku dengan segelintir manusia dalam Malaysia yang mencari apa juga justifikasi bagi kedatangan gelandangan Sulu itu. Setidak-tidaknya, pihak Filipina membayangkan beberapa kelompok bertanggungjawab menceroboh Lahad Datu iaitu mereka yang mendakwa waris kesultanan (kuno) Sulu, serpihan Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), mereka yang anti-Benigno Aquino III (Presiden) dan tentera upahan serta paling membimbangkan ialah elemen dalam politik Malaysia yang cuba menangguk di air keruh.

Keganasan di Lahad Datu sudah mencapai tahap maksimum, masa untuk memberi amaran sudah berlalu. Pihak keselamatan tidak boleh berlembut dalam isu pengkhianatan dan penderhakaan. Jika terbukti ada yang menjadi tali barut, mereka mesti dikenakan tindakan tanpa mempedulikan kedudukan politik, sama ada ahli bawahan atau pemimpin. Keselamatan dan kedaulatan negara tidak mengenal batas dan pertimbangan politik.

Jika benar pengkhianatan dari dalam Malaysia seperti dibayangkan Aquino III, tindakan tegas mesti diambil. Tindakan undang-undang patut seragam tanpa mengira kedudukan dan permainan politik mereka. Jika mereka melanggar undang-undang – tidak kita menganjurkan perhimpunan haram, melanggar akta bank dan institusi kewangan, menghasut atau mengkhianati negara – hukuman seperti rakyat biasa mesti dikenakan. Sistem perundangan untuk mencari keadilan, termasuk untuk wira yang maut ketika menghalau pengganas Sulu.

Sumber : Berita Harian Online

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...