Darahsatriadotcom

Followers

Saturday 20 July 2013

Dakwaan Jahat : Nong Chik Saman Nurul Izzah!

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin yang mendakwa dirinya difitnah oleh Nurul Izzah Anwar berhubung dakwaan 'jahat' yang dibuat sehari sebelum hari mengundi, bertindak menyaman Ahli Parlimen Lembah Pantai itu.

Writ saman Raja Nong Chik itu difailkan oleh firma guaman Tetuan Raja Riza & Associates di Mahkamah Tinggi di sini pada 17 Julai lalu rentetan daripada tuduhan Nurul Izzah berhubung urus niaga pembelian 4.85 hektar tanah bernilai tinggi di Bukit Kiara.

Selain Nurul Izzah, 33, Raja Nong Chik, 60, selaku pihak plaintif menamakan syarikat Mkini Dotcom Sdn. Bhd. selaku pemilik portal berita Malaysiakini, dan wartawannya, Lu Wei Hoong masing-masing sebagai defendan pertama hingga ketiga.


Peguam M. Reza Hassan yang mewakili Raja Nong Chik memberitahu pemberita, Hakim Datin Yeoh Wee Siam menetapkan 19 Ogos ini bagi pengurusan kes tersebut.

Dalam pernyataan tuntutannya, plaintif menyatakan, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu pada 4 Mei lalu telah mendakwa kononnya beliau terlibat dengan urusan pindah milik tanah milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Bukit Kiara yang telah diberikan kepada Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP).

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Wilayah Persekutuan mendakwa, pernyataan fitnah kedua pula telah dibuat oleh Nurul Izzah, Malaysiakini dan wartawannya itu dan diterbitkan di laman web www.malaysiakini.com pada tarikh yang sama bertajuk, Nurul persoal RNC dalam urus niaga RM475 juta (Artikel Malaysiakini pertama).

Pihak defendan seterusnya menurut plaintif, dengan niat jahat menerbitkan kenyataan fitnah ketiga yang merujuk kepada beliau bertajuk, Nurul queries Nong Chik's role in RM475mil deal (Artikel Malaysiakini kedua).

Bekas menteri Kabinet itu juga menyatakan, perkataan-perkataan tersebut secara langsung dan tidak langsung merujuk kepada beliau.

Menurut plaintif, pihak defendan menyatakan, perkataan-perkataan itu membawa maksud antaranya, beliau tidak jujur, terlibat dalam kegiatan rasuah dan tidak boleh dipercayai.

Fitnah tersebut menurut Ketua Bahagian UMNO Lembah Pantai itu menyebabkan, reputasi dan maruahnya sebagai ahli politik terjejas ekoran dipandang hina kerana kononnya telah terlibat dalam transaksi yang meragukan serta merugikan rakyat.

Justeru itu, Raja Nong Chik selain menuntut ganti rugi teruk dan teladan, turut memohon perintah injunksi agar pihak defendan tidak menerbitkan sebarang perkataan fitnah serta perintah memaksa mereka membuat permohonan maaf berdasarkan terma yang dipersetujui oleh beliau.

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...