Darahsatriadotcom

Followers

Saturday, 20 July 2013

Karpal Singh Bakal Didenda Dan Dipenjara?

Perbicaraan kes terhadap Pengerusi DAP, Karpal Singh di Mahkamah Tinggi di sini atas tuduhan mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan berhubung Sultan Perak dalam satu sidang akhbar di pejabatnya, empat tahun lalu, ditangguhkan ke 26 Julai ini hanya selepas bersidang selama 30 minit.

Penangguhan tersebut adalah berikutan pihak pembelaan yang mewakili Karpal tidak membawa salinan asal laporan polis peguam itu pada 15 Mei lalu berhubung kenyataan yang dibuat oleh bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Noor Abdullah dalam satu forum, Mei lalu.

Ia juga bagi membolehkan pihak pembelaan mendapatkan laporan polis asal yang dibuat oleh sekumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dibuat semalam terhadap Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail yang didakwa telah menyalahgunakan kuasa dan mengamalkan pendakwaan terpilih.


Berikutan itu, Hakim Datuk Azman Abdullah telah menegur barisan peguam bela yang diketuai oleh Gobind Singh Deo dan mempersoalkan tindakan mereka tidak menyediakan laporan asal dengan lebih awal terutamanya yang dibuat oleh Karpal.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Noorin Badaruddin membantah tindakan pihak pembelaan cuba memasukkan salinan laporan-laporan polis tersebut tanpa memanggil individu yang membuat laporan terbabit.

Perbicaraan tersebut yang tertangguh sejak beberapa bulan sepatutnya disambung semula hari ini selepas Karpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor menarik balik dua rayuannya di Mahkamah Rayuan berhubung keputusan Hakim Mahkamah Tinggi di sini pada 15 Julai lalu.

Karpal sebelum ini memfailkan rayuan selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Hakim Azman yang menolak permohonannya untuk membatalkan pertuduhan membuat kenyataan berbaur hasutan terhadap Sultan Azlan Shah pada 2009.

Beliau turut memfailkan rayuan terhadap keputusan hakim terbabit yang menolak permohonannya untuk mensapina bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad; bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman dan Abdul Gani.

Karpal, 73, dituduh mengeluarkan perkataan berbaur hasutan terhadap Sultan Perak di antara pukul 12 dan 12.30 tengah hari, 6 Februari 2009 di pejabatnya, Tetuan Karpal Singh & Co., No.67, Jalan Pudu Lama, Dang Wangi, di sini.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Ketika menetapkan tarikh perbicaraan baharu, Hakim Azman sempat bergurau secara sinis dengan pihak pembelaan yang menyatakan tarikh 22 dan 23 Julai ini tidak sesuai kerana perlu menghadiri satu kes di Mahkamah Tinggi Shah Alam yang didengar oleh Hakim Noor Azian Shaari.

"Hakim Azian tak boleh tangguh, saya punya boleh tangguh. Kes ini patut bermula semalam tetapi tangguh hari ini. Sekarang, baru mula setengah jam, dah minta tangguh. Bagilah pula pada saya (untuk teruskan perbicaraan),'' katanya.

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...